KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: MALAYSIA 2-0 INDONESIA

2019-11-20

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berjaya meraih kemenangan ketiga dalam kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila menewaskan pasukan tangga tercorot, Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan kedua berturut di laman sendiri itu menyaksikan Malaysia, ranking ke-158 dunia melonjak naik dua kedudukan ke tangga kedua Kumpulan G memintas Thailand yang seri 0-0 dengan Vietnam di Hanoi manakala UAE tidak beraksi.

Selepas lima perlawanan, Vietnam kekal di tangga teratas dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0). Hanya UAE kurang satu perlawanan.

Pada aksi di Bukit Jalil malam tadi, Malaysia yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Thailand, Khamis lalu nyata bersemangat untuk berdepan Indonesia, ranking ke-171 dunia yang dibimbing pengendali sementara, Yeyen Tumena biarpun turun tanpa Syafiq Ahmad dan Matthew Davies yang digantung satu perlawanan.

Namun Malaysia terpaksa melakukan pertukaran awal selepas penjaga gol, Khairulazhan Khalid mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan berbahaya Indonesia dan digantikan dengan Farizal Marlias pada minit ke-23.

Malaysia berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi sepakan percuma kaki kiri daripada Safawi Rasid yang terus menerjah jaring menewaskan penjaga gol Indonesia, Muhammad Ridho pada minit ke-30.

Kedudukan terus selesa buat Malaysia selepas Safawi sekali lagi meledak menerusi rembatan deras kaki kiri pada minit ke-73, berpunca daripada kesilapan kapten Indonesia, Yanto Basna.

Indonesia kemudian berpeluang merapatkan kedudukan selepas Febri Hariyadi dijatuhkan Farizal, namun sepakan penalti diambil penyerang gantian, Osas Saha pada minit ke-83 mudah ditangkap kemas oleh Farizal untuk memastikan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Malaysia selepas ini akan bertemu UAE di gelanggang lawan bagi perlawanan keenam pada 26 Mac 2020 diikuti perlawanan ketujuh bertemu Vietnam di laman sendiri pada 31 Mac 2020.

 

MALAYSIA: 22. Khairulazhan Khalid (PG) (1. Farizal Marlias (PG) 23'); 4. Syahmi Safari, 3. Shahrul Saad, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K), 6. La'Vere Corbin-Ong; 15. Brendan Gan, 8. Nor Azam Abdul Azih (12. Afiq Fazail 80'), 14. Syamer Kutty Abba; 11. Safawi Rasid, 13. Mohamadou Sumareh, 19. Akhyar Rashid (9. Norshahrul Idlan Talaha 46').

INDONESIA: 1. Muhammad Ridho (PG); 6. Hendro Siswanto, 15. Ricky Fajrin, 5. Otavio Dutra, 16. Yanto Basna (K); 22. Gavin Kwan, 19. Bayu Pradana, 4. Teuku Ichsan (14. Rizky Pora 78'), 7. Septian David (8. Dendi Santoso 68'); 13. Febri Hariyadi, 10. Greg Nwokolo (11. Osas Saha 58').

Pengadil: Alireza Faghani (Iran)