KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: MALAYSIA 7-1 TIMOR-LESTE

2019-06-08

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe memperoleh bekalan gol selesa selepas berjaya menewaskan Timor-Leste 7-1 pada aksi pertama Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
 
Malaysia, ranking ke-168 dunia akan sekali lagi bertemu Timor-Leste, ranking ke-195 dunia untuk aksi kedua di tempat lawan, juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini (11 Jun 2019) bagi merebut tempat ke Pusingan 2 (kelayakan peringkat kumpulan) yang bakal bermula 5 September 2019.
 
Pada aksi di hari raya ketiga Aidilfitri yang dihadiri 4,144 penonton itu, gol pertama Malaysia hadir pada minit ke-12 menerusi tandukan tepat pemain pertahanan, La'Vere Corbin-Ong selepas menerima bola hantaran Safawi Rasid dari sebelah kanan.
 
Malaysia kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan pertahanan Timor-Leste, namun sepakan penalti yang diambil Safawi pada minit ke-18 itu berjaya pula diselamatkan penjaga gol pelawat, Aderito Fernandes.
 
Ia bagaimanapun tidak menjejaskan rentak tuan rumah apabila Shahrel Fikri Md Fauzi yang masuk menggantikan Syafiq Ahmad yang cedera mudah menolak masuk bola ke gawang berpunca daripada hantaran Matthew Davies dari sebelah kanan yang hanya ditepis sedikit Fernandes dan tepat ke kaki Shahrel Fikri untuk gol kedua Malaysia pada minit ke-23.
 
Menuju penghujung separuh masa pertama, Malaysia berjaya menambah dua lagi gol.
 
Norshahrul Idlan Talaha berjaya mencetak namanya selaku penjaring gol ketiga Malaysia pada minit ke-43 selepas menyambung gerakan awal Safawi untuk memperdaya pertahanan lawan dan melepaskan sepakan tepat menuju gawang Timor-Leste.
 
Safawi kemudian berjaya juga memecah kebuntuan untuk menjadikan kedudukan 4-0 apabila dia menyudahkan gerakan satu dua dengan Mohamadou Sumareh.
 
Bersambung babak kedua, Malaysia dikejutkan dengan jaringan lawan apabila kelekaan barisan tengah dan pertahanan yang kehilangan bola membolehkan kapten Timor-Leste, Joao Pedro melakukan larian pantas dan penyudah kemas menewaskan Farizal Marlias untuk gol pertama Timor-Leste pada minit ke-52.
 
Namun, Malaysia segera bangkit mendapatkan gol kelima yang juga jaringan kedua peribadi Safawi menerusi rembatan deras menggegar palang gol lalu menerjah jaring selepas menerima lorongan daripada Sumareh dari sebelah kiri untuk kedudukan 5-1 pada minit ke-59.
 
Malaysia kemudian berjaya menambah dua lagi gol menerusi dua pemain gantian.
 
Faiz Nasir hanya memerlukan tiga minit selepas masuk menggantikan Norshahrul Idlam untuk menjaringkan gol keenam Malaysia menerusi sepakan voley menarik selepas menerima bola hantaran lambung Davies dari sebelah kanan pada minit ke-78.
 
Pesta gol Malaysia ditutup Akhyar Rashid yang melakukan penyudah tepat selepas mendapat hantaran dari tengah daripada Nor Azam Abdul Azih untuk gol ketujuh tuan rumah pada minit ke-89.
 
MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (GK)(C); 2. Matthew Davies, 3. Shahrul Saad, 5. Adam Nor Azlin, 7. La'Vere Corbin-Ong; 12. Akram Mahinan, 8. Nor Azam Abdul Azih; 13. Mohamadou Sumareh (19. Akhyar Rashid 62'), 20. Syafiq Ahmad (10. Shahrel Fikri Md Fauzi 14'), 11. Safawi Rasid; 9. Norshahrul Idlan Talaha (18. Faiz Nasir 75').
 
TIMOR-LESTE: 1. Aderito Fernandes (GK), 3. Gaspar da Silva, 4. Candido Oliveira, 7. Rufino Gama, 8. Mouzinho Lima, 10. Joao Pedro (C), 11. Gelvanio Angelo (14. Elias Joao Mesquita 46'), 15. Armindo de Almeida (5. Joao Panji 67'), 18. Filomeno Junior, 21. Frangcyatma Alves, 22. Nelson Sarmento Viegas (17. Jorge Sabas Victor 84').
 
Pengadil: Kasimov Sherzod (Uzbekistan)