KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: THAILAND 0-1 MALAYSIA

2021-06-16

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bangkit daripada dua kekalahan berturut kepada UAE dan Vietnam dengan berjaya menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan kelapan/terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, malam tadi.

Tiga mata penuh yang diraih itu meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan G dengan 12 mata menerusi empat kemenangan dan empat kekalahan, mengatasi Thailand di tangga keempat dengan sembilan mata dan Indonesia di tangga kelima dengan satu mata.

UAE yang menewaskan Vietnam 3-2 pada satu lagi perlawanan, muncul juara Kumpulan G dengan mengumpul 18 mata mengatasi Vietnam di tangga kedua dengan 17 mata.

UAE dan Vietnam berjaya layak ke Pusingan 3, Kelayakan Piala Dunia 2022 sementara Malaysia dan Thailand layak ke Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023. Indonesia pula perlu mengharungi perlawanan playoff untuk ke Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023.

Pada aksi malam tadi, Cheng Hoe melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utamanya selepas tiga pemain digantung satu perlawanan selepas mengumpul kad kuning kedua ketika bertemu Vietnam iaitu La'Vere Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh dan Syamer Kutty Abba.

Enam pemain baharu dibawa masuk dalam kesebelasan kali ini termasuk penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan Syahmi Safari serta tiga pemain gantian ketika aksi bertemu Vietnam iaitu Akhyar Rashid, Arif Aiman Hanapi dan Nazmi Faiz Mansor. Seorang lagi pemain, Nor Azam Abdul Azih kembali dalam kesebelasan utama.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Cheng Hoe melakukan dua pertukaran apabila permainan bersambung di babak kedua dengan membawa masuk Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad untuk menggantikan Arif Aiman dan Brendan Gan.

Hasilnya, gol yang dicari berjaya diperoleh pada minit ke-52 menerusi sepakan penalti diambil oleh Safawi selepas pemain sayap Harimau Malaya itu sendiri dijatuhkan pertahanan Thailand.

Biarpun kedua-dua pasukan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol selepas itu, kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

 

THAILAND: 1. Chatchai Budprom (PG); 15. Narubadin Weerawatnodom (19. Tristan Do 72'), 2. Suphan Thongsong, 3. Sathaporn Daengsee, 12. Ernesto Phumipha (6. Sarach Yooyen 64'); 13. Jaroensak Wonggorn, 16. Phitiwat Sukjitthammakul (21. Sumanya Purisay 55'), 8. Thitiphan Puangchan (K), 7. Supachok Sarachat (9. Adisak Kraisorn 72'); 10. Thanawat Suengchitthawon (20. Jakkaphan Kaewprom 72'), 17. Suphanat Mueanta.

MALAYSIA: 21. Khairulazhan Khalid (PG); 2. Matthew Davies, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K) (6. Dominic Tan 67'), 5. Dion-Johan Cools, 4. Syahmi Safari (3. Rizal Ghazali 86'); 8. Nor Azam Abdul Azih (10. Liridon Krasniqi 80'), 15. Brendan Gan (20. Syafiq Ahmad 46'), 12. Nazmi Faiz Mansor; 18. Arif Aiman Hanapi (11. Safawi Rasid 46'), 19. Akhyar Rashid, 16. Guilherme de Paula.

Pengadil: Mohammed Khled Al Hoish (Arab Saudi)