KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: UAE 4-0 MALAYSIA

2021-06-04

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe gagal meneruskan rentak kemenangan ketika Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kembali bersambung selepas tertangguh setahun setengah akibat COVID-19 apabila tewas kepada UAE 4-0 pada perlawanan keenam Kumpulan G di Stadium Zabeel, Dubai, malam tadi.

Selepas dua kemenangan berturut ke atas Thailand 2-1 dan Indonesia 2-0 di Bukit Jalil pada November 2019, kekalahan ketiga malam tadi meletakkan Malaysia turun dua anak tangga ke kedudukan keempat Kumpulan G dengan sembilan mata, sama mata dengan UAE yang naik ke tangga kedua dan Thailand yang kekal di tangga ketiga selepas seri 2-2 dengan Indonesia pada satu lagi aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Vietnam yang tidak beraksi malam tadi kekal di tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata sementara Indonesia di tangga kelima dengan 1 mata.

Skuad Harimau Malaya turun dengan kehadiran dua pemain naturalisasi baharu, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi serta penampilan sulung pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion-Johan Cools, namun tanpa kelibat pemain tengah, Brendan Gan yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning keduanya pada aksi terakhir menentang Indonesia.

Malaysia ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama menerusi penyudah kemas Ali Mabkhout pada minit ke-19 selepas penyerang UAE itu berjaya menyambut baik hantaran jauh dari bahagian tengah padang untuk mengatasi kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak dan seterusnya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Tatkala Malaysia cuba mendapatkan gol penyamaan pada babak kedua, UAE kendalian Bert Van Marwijk terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan lencong Fabio Lima dari sebelah kanan.

Gawang Malaysia yang dikawal Farizal terus dibolosi dengan dua gol berturut pada tambahan masa separuh masa kedua, sekali lagi menerusi penyudah Ali Mabkhout (90'+1) dan Fabio Lima (90'+3).

Skuad Harimau Malaya akan berehat untuk perlawanan seterusnya iaitu pada Isnin, 7 Jun 2021 dengan UAE dijadual bertemu Thailand manakala Vietnam berdepan Indonesia.

Bagi aksi berikutnya, Malaysia akan menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum pada Jumaat, 11 Jun 2021 sementara UAE pula bertemu Indonesia di Stadium Zabeel pada hari dan waktu yang sama.

 

UAE: 1. Ali Khaseif (PG); 9. Bandar Alahbabi, 4. Shaheen Abdalla Almaazmi, 3. Walid Abbas (K), 21.Mahmoud Khamis; 5. Ali Hassan Alblooshi (19. Tahnoon Alzaabi 90'+3), 18.Abdalla Ramadan; 15. Fabio Lima, 10. Khalfan Mubarak (8. Omar Alattas 87'), 14. Khalil Ibrahim (11. Caio Canedo 60'); 7. Ali Mabkhout.

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG); 2. Matthew Davies, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K) (6. Junior Eldstal 69'), 5. Dion-Johan Cools, 22. La'Vere Corbin-Ong; 8. Nor Azam Abdul Azih (20. Syafiq Ahmad 54'), 10. Liridon Krasniqi, 14. Syamer Kutty Abba; 11. Safawi Rasid (18. Luqman Hakim Shamsudin 63'), 13. Mohamadou Sumareh, 16. Guilherme de Paula.

Pengadil: Kim Dae-yong (Republik Korea)