KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: VIETNAM 1-0 MALAYSIA

2019-10-11

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe mengalami kekalahan kedua dalam kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas tewas 1-0 kepada pasukan ranking ke-99 dunia, Vietnam pada perlawanan ketiga Kumpulan G di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam tadi.

Dengan keputusan itu, Malaysia, ranking ke-158 dunia kini turun ke tangga keempat kumpulan dengan tiga mata selepas beraksi tiga perlawanan menerusi kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta dan tewas 1-2 kepada UAE di Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara UAE merampas tangga teratas kumpulan daripada Thailand menerusi enam mata selepas menewaskan Indonesia 5-0 di Dubai, awal pagi tadi.

Thailand yang tidak beraksi turun ke tangga kedua dengan empat mata, Vietnam naik ke tangga ketiga juga dengan empat mata dan Indonesia pula kekal di tangga kelima tanpa sebarang mata selepas tewas ketiga-tiga perlawanan.

Pada aksi di Hanoi malam tadi, Malaysia dikecewakan dengan jaringan tunggal Vietnam menerusi Nguyen Quang Hai pada minit ke-40.

Seterusnya, bagi aksi Hari Perlawanan 4 pada 15 Oktober 2019, Indonesia bakal menanti kunjungan Vietnam di Bali manakala Thailand berdepan UAE di Bangkok.

Malaysia yang tidak beraksi akan meneruskan saingan bagi perlawanan seterusnya bertemu Thailand pada 14 November 2019 dan Indonesia pada 19 November 2019, kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

 

VIETNAM: 23. Dang Van Lam (PG), 2. Do Duy Manh, 3. Que Ngoc Hai (K), 4. Bui Tien Dung, 5. Doan Van Hau, 8. Nguyen Trong Hoang, 9. Nguyen Van Toan (13. Nguyen Viet Phong 87'), 10. Nguyen Cong Phoung (11. Nguyen Anh Duc 63'), 14. Nguyen Tuan Anh (15. Pham Duc Huy 46'), 16. Do Hung Dung, 19. Nguyen Quang Hai.

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG)(K); 2. Matthew Davies (4. Syahmi Safari 90'), 3. Shahrul Saad, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak, 6. La'Vere Corbin-Ong; 15. Brendan Gan, 16. Abdul Halim Saari; 13. Mohamadou Sumareh, 20. Syafiq Ahmad, 11. Safawi Rasid; 9. Norshahrul Idlan Talaha (19. Akhyar Rashid 56').

Pengadil: Mooud Bonyadifard (IRAN)