KELAYAKAN PIALA DUNIA: ARAB SAUDI 2-0 MALAYSIA

2016-03-25

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia menamatkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan kekalahan 2-0 kepada Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, malam tadi.

 Kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dibantu disiplin bertahan baik para pemain negara memastikan kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

 Namun gawang Malaysia bocor juga dua kali pada babak kedua menerusi jaringan Mohammad Al-Sahlawi pada minit ke-50 dan Taisir Al-Jassim minit ke-74.

 Ini perlawanan sulung skuad Harimau Malaysia di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas bekas pengendali Harimau Muda itu dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada 18 Januari 2016.

 Selepas tujuh perlawanan (kecuali Malaysia yang sudah selesai beraksi lapan perlawanan), Arab Saudi kekal di tangga teratas dengan 19 mata diikuti UAE (16), Palestin (9), Malaysia (4) dan Timor Leste (2).

 Perlawanan terakhir Kumpulan A pada Selasa ini, Palestin akan bertemu Timor Leste manakala UAE menanti kunjungan Arab Saudi.

 Malaysia selepas ini bakal beraksi pada perlawanan playoff Kelayakan Piala Asia 2019 yang akan berlangsung secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun ini.

 Terdahulu, Malaysia akan menghadapi Macau untuk perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa ini.

 

ARAB SAUDI: 1-Khalid Sharhili, 11-Abdulmalek Al-Khaibri, 3-Osama Hawsawi (KP), 5-Omar Hawsawi, 4-Abdullah Al-Zori, 13-Yasser Al-Shahrani, 11-Abdulmalek Al-Khaibri, 7-Salman Al-Faraj, 15-Salman Al-Moasher (19-Fahad Al-Muwallad 77'), 17-Taisir Al-Jassim (16-Housain Al-Mogahwi 85'), 10-Mohammad Al-Sahlawi (20-Mukhtar Fallatah 80').

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 16-S. Kunanlan, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (5-Shahrom Abdul Kalam 25'), 4-Fadhli Shas, 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 18-Wan Zack Haikal Wan Nor (2-Matthew Davies 53'), 3-Brendan Gan, 11-Baddrol Bakhtiar, 8-Safiq Rahim (KP), 13-Nazrin Nawi (12-Shahrul Saad 79'), 17-Amri Yahyah.

Pengadil: Kim Dong Jin (Korea Selatan)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Seperti yang kita tahu, Arab Saudi mendominasi permainan tetapi pemain kami telah beraksi dengan baik dari segi bertahan. Kami telah beri kesukaran kepada Arab Saudi.

 "Tapi pada akhirnya saya tak boleh minta lebih lagi daripada pemain di mana kami hanya mempunyai tiga hari untuk berlatih bersama dengan kesemua pemain sebaik tiba di Jeddah ini selepas pemain mengharungi jadual yang padat di Malaysia.

 "Sudah tentu Arab Saudi pasukan yang cukup baik dengan memiliki pemain yang baik. Lihat saja gol pertama, ia terhasil ketika kami cuba melakukan serangan.

 "Bayangkan jika kami bermain secara menyerang, mungkin kami akan pulang dengan dibolosi enam atau tujuh gol. Tapi kami berjaya melakukan yang terbaik dengan mengecewakan mereka biarpun pada akhirnya pasukan yang baik seperti Arab Saudi tetap dapat mencari jalan untuk menjaringkan gol.

 "Untuk kekalahan 2-0 ini, dengan mentaliti disiplin baik ditunjukkan para pemain, saya tidak boleh minta lebih lagi. Harap kami belajar sesuatu terutama dari segi bertahan apabila berdepan pasukan dari Timur Tengah.

 "Cuma apabila pulang ini, kami perlu melihat aspek lain pula dalam permainan. Saya harap selepas ini kami akan mempunyai cukup masa berlatih bersama pemain. Dari situ kami boleh mencapai keputusan lebih baik."