Kelayakan Piala Dunia: Malaysia 1 Arab Saudi 2 (setakat minit 88)

 
Perlawanan keempat Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi hanya berlangsung setakat minit ke-88 ketika Malaysia ketinggalan 2-1 kepada Arab Saudi.
 
 Pengadil terpaksa menghentikan permainan selepas kumpulan penyokong Ultras Malaya bertindak membakar dan membaling suar serta bom asap ke dalam padang selain melancarkan mercun roket ke arah bangku simpanan pemain serta tempat duduk penonton.
 
 Terdahulu, Malaysia yang dibimbing pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee berjaya memperoleh gol pertama menerusi Safiq Rahim pada minit ke-70 tetapi Arab Saudi kendalian bekas jurulatih kebangsaan Belanda, Bert van Marwijk membalas dua gol menerusi Taisir Al-Jassim (m-73) dan Mohammad Al-Sahlawi (m-76).
 
 Keputusan rasmi perlawanan bagaimanapun hanya akan diputuskan FIFA sedikit masa lagi.
 
 Seterusnya untuk perlawanan kelima Kumpulan A, Malaysia akan bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober depan.
 
 
KOMEN JURULATIH SEMENTARA MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE:
 
"Permainan yang cukup baik. Pemain mengikut arahan taktikal dan bekerjasama dengan baik antara satu sama lain. Kami hampir melakukan kejutan tetapi permainan terhenti kerana gangguan penyokong kita sendiri."
 
 
MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat; 21-Matthew Davies, 13-Razman Roslan, 4-Fadhli Shas, 5-Nazirul Naim Che Hashim; 14-Azammuddin Akil (11-Ahmad Fakri Saarani 68'), 7-Baddrol Bakhtiar, 15-Junior Eldstal, 8-Safiq Rahim (K), 16-S Kunanlan (19-Wan Zack Haikal Wan Nor 46'); 17-Amri Yahyah.
 
ARAB SAUDI: 1-Khalid Sharahili; 13-Yasser Al-Shahrani, 14-Yasyn Al-Nakhli, 3-Osama Hawsawi (K), 4-Abdulla Al-Dossary; 8-Yahya Al-Shehri, 7-Salman Al-Faraj, 11-Abdulmalek Al-Khaibri, 15-Salman Muwashar (19-Fahad Al-Muwallad 59'); 17-Taisir Al-Jassim, 10-Mohammad Al-Sahlawi (9-Naif Hazazi 87').
 
Pengadil: Liu Kwok Man (HONG KONG)
J Category: 
uncategorised7