Kelayakan Piala Dunia: Timor Leste 0 Malaysia 1

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan sulung pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 selepas menewaskan Timor Leste 1-0 di Stadium Perbandaran Dili, petang semalam.
 
 Jaringan tunggal menerusi penyudah Amri Yahyah pada minit ke-10 selepas menerima hantaran Nazirul Naim Che Hashim dari sebelah kiri sudah cukup untuk Malaysia meraih tiga mata penuh di gelanggang lawan.
 
 Ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat turut memastikan kelebihan satu gol itu berjaya dikekalkan sehingga tamat 90 minit permainan.
 
 Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tidak dapat diturunkan pada perlawanan ini kerana kad kuning kedua diterimanya ketika aksi bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu tetap diambil kira biarpun Arab Saudi dihadiahkan kemenangan 3-0 akibat kekecohan penonton pada minit ke-88 ketika Malaysia ketinggalan 2-1.
 
 Selepas lima perlawanan, Malaysia kini naik ke tangga keempat Kumpulan A dengan empat mata, memintas kedudukan Timor Leste di tangga kelima dengan dua mata.
 
 Kumpulan A masih diterajui Arab Saudi dengan 12 mata diikuti UAE (7) dan (5), dengan ketiga-tiga pasukan baru beraksi empat perlawanan.
 
 Untuk perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu Palestin di tempat lawan pada 12 November diikuti perlawanan menentang UAE di laman sendiri, 17 November tetapi tanpa kehadiran penonton akibat hukuman dijatuhkan oleh FIFA.
 
TIMOR LESTE: 12-Ramos Maxanches, 13-Diogo Rangel, 5-Ramon Saro, 6-Paulo Helber, 4-Filipe Oliveira, 2-Adelino Trindade (21-Nilo Soares 81'), 23-Jose Fonseca (22-Henrique Cruz 58'), 8-Juninho, 10-Rodrigo Silva, 16-Carlos Magno (15-Agostinho 28'), 19-Patrick Fabiano.
 
MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 2-Matthew Davies, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak, 13-Razman Roslan, 14-Nazirul Naim Che Hashim, 16-S Kunanlan, 6-Ismail Faruqi Ashari (5-Nasir Basharudin 56'), 11-Baddrol Bakhtiar, 19-Azammuddin Akil (15-Christie Jayaseelan 77'), 17-Amri Yahyah (K), 10-Safee Sali (4-Shahrul Saad 87').
 
Pengadil: Kim Hee Gon (Korea Selatan)
 
J Category: 
uncategorised7