KENYATAAN PRESIDEN FAM BERHUBUNG SKUAD HARIMAU MALAYA

2021-06-18

Pertama, saya menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung skuad kebangsaan, Harimau Malaya, tempoh hari.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan.

Kedua, berkaitan isu pemain naturalisasi, saya telah mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini.

Ketiga, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh post-mortem daripada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan, mengenai persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta persediaan awal pasukan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari 2022 untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan datang.

Kesemua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan ini kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan.

 

Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)