Kenyataan rasmi Setiausaha Agung FAM berhubung insiden pada perlawanan antara Terengganu dan LionsXII

Kenyataan rasmi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Hamidin Mohd Amin berhubung insiden pada perlawanan separuh akhir ke-2 Piala FA 2015 antara Terengganu dan LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, semalam.

"Merujuk kepada bantahan para pemain Terengganu selepas gol mereka dibatalkan, keputusan pengadil adalah muktamad.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan lengkap daripada pegawai perlawanan berhubung apa yang berlaku.

"Mengikut amalan biasa, segala aduan atau bantahan mengenai apa-apa keputusan pegawai perlawanan akan dirujuk kepada jawatankuasa yang berkenaan untuk dinilai.

"Sementara itu, berhubung tindakan penyokong Terengganu yang merusuh selepas perlawanan, pihak FAM berasa dukacita dengan apa yang berlaku. Jadi insiden berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"Mengenai status pemain import Terengganu, Paulo Rangel yang dilayangkan kad merah pada perlawanan semalam, beliau dibenarkan beraksi untuk perlawanan bertemu Tottenham, 27 Mei ini kerana penggantungan perlawanan itu hanya diguna pakai bagi saingan peringkat domestik."

J Category: 
article/press-release