KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG FAM BERHUBUNG ISU SEMASA

2016-08-06

Berikut kenyataan Setiausaha Agung FAM, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Royal Selangor Club (RSC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pagi tadi (Sabtu, 6 Ogos 2016):

1. Saya difahamkan bahawa pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan barisan Exco FAM tempoh hari hanya satu perjumpaan dan tiada apa-apa perkara yang telah diputuskan. Saya rasa biarlah perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 15 Ogos ini dan selepas itu FAM akan membuat kenyataan rasmi.

2. Mengenai kenyataan bahawa semua Exco FAM akan mengikut jejak langkah Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan, pada pendapat saya kita ini negara demokrasi dan masing-masing ada hak. Kalau diikutkan, kesemua barisan Exco FAM ini masih boleh memegang jawatan mereka sehingga pemilihan baharu pada tahun 2018. Sama ada mereka mahu mengikut jejak langkah presiden, itu saya tidak pasti kerana ia hak individu. Mungkin pada 15 Ogos ini mereka akan putuskan.

3. Ingin saya jelaskan dari segi perlembagaan FAM yang mana ia diktiraf oleh pesuruhjaya sukan, AFC dan FIFA, mana-mana pemilihan yang ingin dilakukan dalam FAM perlu dibuat empat tahun sekali atau pun seperti dalam artikel 29 perlembagaan persatuan di mana untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), satu per lima ahli gabungan boleh mengusulkannya atau pihak exco sendiri mahu pemilihan diadakan sama ada bagi jawatan presiden atau keseluruhannya. Jadi ia dibenarkan.

4. Jika pemilihan awal mahu diadakan, perlu dinyatakan secara spesifik tentang apa yang mahu dibincangkan dalam EGM tersebut sama ada ia hanya pemilihan jawatan presiden atau keseluruhannya, dan tidak boleh dibincangkan hal-hal lain. Apa pun mesyuarat agung tahunan (AGM) FAM akan diadakan pada 15 September ini untuk kita membentangkan dan meluluskan laporan kewangan dan laporan tahunan sepanjang tahun 2015.

5. Mengenai status peletakan jawatan Presiden FAM, saya kira pada 15 Ogos ini ia akan diputuskan. Saya akan memohon menghadap Tengku Abdullah sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM itu dan status baginda sebagai Presiden FAM akan diputuskan pada 15 Ogos ini.

6. Mengenai formula yang dinyatakan oleh YB Khairy, seperti yang saya katakan, ia satu sesi perbincangan yang tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan yang rasmi. Jadi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 15 Ogos ini akan memuktamadkan semua perkara yang dibincangkan itu.

7. Saya juga ingin menyatakan, dalam perlembagaan persatuan ketika ini, sesiapa yang memegang jawatan Presiden FAM akan secara automatiknya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah FMLLP.