Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-5 bagi penggal 2014-2018

Berikut beberapa keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-5 bagi penggal 2014-2018 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini seperti dinyatakan Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Afandi Hamzah pada sidang media sejurus berakhir mesyuarat selama tiga jam itu.
 
PASUKAN PETUGAS TELITI SKUAD KEBANGSAAN
 
"Laporan-laporan yang dikemukakan ketua-ketua jurulatih pasukan-pasukan kebangsaan telah diberi pertimbangan. Kita juga prihatin dan terbuka terhadap setiap pandangan dan cadangan dikemukakan peminat bola sepak seluruh negara.
 
 "Kesannya, kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan petugas (task force) yang akan meneliti perkara ini secara terperinci dan membuat perakuan dalam tempoh terdekat.
 
 "Selepas Hari Raya Aidilfitri, pasukan petugas ini akan mengadakan perjumpaan dan memperincikan perkara-perkara yang perlu diambil tindakan.
 
 "Dalam masa singkat, pasukan petugas ini akan mengemukakan cadangan yang berkaitan termasuk mengenai kedudukan jurulatih dan sebagainya.
 
 "Pasukan petugas ini akan dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Dato' Abdul Mokhtar Ahmad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM dan ia akan merangkumi beberapa anggota."
 
PERLAWANAN LIGA DI BULAN RAMADAN
 
"Kita juga membincangkan kembali mengenai perlawanan Liga Super dan Liga Premier berlangsung pada bulan Ramadan. Tahun ini, pertama kali kita melaksanakannya kerana kebetulan Ramadan jatuh pada bulan Julai di mana kebiasaannya adalah bulan kemuncak saingan liga.
 
 "Justeru, pada bengkel yang kita adakan Disember tahun lalu, kita telah mengemukakan cadangan perlawanan pada bulan Ramadan dan pada masa itu semua pemegang taruh bersetuju.
 
 "Jadi kita memberanikan diri untuk melaksanakannya kerana kita sendiri tiada pengalaman mengenai apakah perkara-perkara yang akan timbul kesan daripada perlawanan di bulan Ramadan.
 
 "Selepas kita melaluinya, kita dapati yang perlawanan di bulan Ramadan ini perlu dilihat semula dan kita merasakan berkemungkinan besar tiada lagi perlawanan liga pada bulan Ramadan akan diadakan pada tahun-tahun akan datang."
 
JADUAL PIALA MALAYSIA 2015
 
"Kita juga perlu menjadualkan semua perlawanan bagi saingan Piala Malaysia musim ini. Buat masa ini, kami sedang meneliti penglibatan dua wakil negara - Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang dalam peringkat suku akhir Piala AFC 2015 untuk disesuaikan dengan jadual Piala Malaysia.
 
 "Jika dua pasukan ini berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2015, maka final Piala Malaysia 2015 akan diadakan pada 12 Disember tetapi jika sebaliknya, final akan berlangsung pada 28 November.
 
 "Sebaik saingan Liga Super dan Liga Premier berakhir hujung Ogos ini, perlawanan playoff Piala Malaysia 2015 akan diadakan pada awal September melibatkan pasukan tangga ke-11 dan ke-12 Liga Super serta pasukan tangga ke-5 dan ke-6 Liga Premier untuk merebut dua slot terakhir ke Piala Malaysia."
 
WAKIL NEGARA KE PIALA AFC 2016
 
"Kita juga membincangkan mengenai status kelayakan pasukan untuk mewakili negara ke Piala AFC 2016. Kebiasaannya, ranking kelayakan yang pertama ialah juara Liga Super, kemudian juara Piala FA.
 
 "Seterusnya, naib juara Liga Super, kemudian naib juara Piala FA. Selepas itu, barulah tempat ketiga Liga Super.
 
 "Kebetulan pada tahun ini, Lions XII (kelab dari Singapura) telah muncul juara Piala FA, jadi sudah tentu mereka tidak boleh mewakili negara ke Piala AFC 2016. Jadi slot itu akan diisi oleh naib juara Liga Super.
 
 "Namun jika Lions XII muncul sebagai naib juara Liga Super, maka naib juara Piala FA (Kelantan) akan mewakili negara ke Piala AFC 2016. Itu cadangan kita tetapi ia tertakluk kepada Sekretariat AFC untuk keputusan akhir."
 
KONGRES FAM
 
"Mesyuarat pada hari ini turut menetapkan tarikh Kongres FAM untuk tahun ini yang akan diadakan pada 27 Ogos ini di Hotel Hilton Petaling Jaya, jam 11 pagi."
 
SOP KESIHATAN PEMAIN
 
"Kita juga mencadangkan untuk diadakan satu Prosedur Kendalian Standard (SOP) mengenai kesihatan para pemain khususnya pemain asing untuk diperketatkan lagi bagi mengelak insiden baru-baru ini berlaku.
 
 "KIta turut memberi kelulusan khas kepada pasukan T-Team untuk mendaftar pemain import baharu bagi menggantikan David Oniya yang meninggal dunia pada perlawanan persahabatan bertemu Kelantan (13 Jun lalu)."
J Category: 
article/press-release