KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PENGADIL FAM KALI KEDUA BAGI PENGGAL 2021-2025

2021-09-09

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali kedua bagi penggal 2021-2025 secara dalam talian, hari ini yang dipengerusikan oleh Dato' S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah membincangkan insiden yang berlaku pada perlawanan Liga Premier 2021, Kelantan FC bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 27 Ogos 2021.

FAM menilai dan meneliti keseriusan insiden berkenaan dan selepas berbincang secara panjang lebar mengenai prestasi empat pegawai perlawanan yang bertugas pada perlawanan tersebut ketika mesyuarat itu tadi, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan seperti berikut:

  1. Keempat-empat pegawai perlawanan tersebut telah digantung tugas selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.
  2. Selepas tamat penggantungan itu, kesemua pegawai perlawanan tersebut seterusnya akan hanya dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia selama sembilan bulan.
  3. Mereka juga akan dirujuk kepada Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri dan Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum boleh dinaikkan semula bagi mengadili perlawanan Liga Premier selepas tempoh tersebut.

FAM berharap agar insiden yang telah berlaku ini akan menjadi pengajaran berguna kepada kesemua pengadil kebangsaan supaya menjalankan tugas dengan penuh fokus dan komited pada setiap perlawanan yang akan datang.

 

MOHD SAIFUDDIN ABU BAKAR

Setiausaha Agung

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Dikeluarkan pada Khamis, 9 September 2021