KONGRES TAHUNAN FAM KALI KE-55 | SABTU, 13 JULAI 2019

2019-07-13

Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kali Ke-55 telah berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya, hari ini dengan dihadiri barisan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bersama-sama 39 orang perwakilan dari 20 ahli gabungannya.

Ia telah dipengerusikan oleh Presiden FAM, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Pada kongres itu, pemilihan bagi mengisi satu kekosongan jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang ditinggalkan Subkhiddin Haji Mohd Salleh telah dijalankan.

Dato' Kamarul Ariffin Mohd Shahar telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baharu selepas memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 25 undi bagi mengatasi empat calon lain - Khamal Idris Haji Ali, YB Dr Amar Pritpal Abdullah, Hairul Anwar Mohamed Noor dan Syed Yazid Syed Omar.

Kongres turut meluluskan Statut FAM yang baharu iaitu pindaan melibatkan penstrukturan semula dan penambahan artikel baharu supaya ia selaras dengan tuntutan perubahan yang telah diterima pakai oleh AFC dan FIFA, meningkat dan memperkemaskan lagi tadbir urus di peringkat FAM dan menzahirkan pengurusan telus dan berintegriti; serta mewujudkan pengasingan kuasa yang jelas di antara FAM dan ahli-ahli gabungannya.

Sejurus selepas kongres ditangguhkan oleh Dato' Haji Hamidin, ia diteruskan dengan pemberian anugerah Belang Legenda kepada Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Mu'adzam Shah di atas jasa dan sumbangan Almarhum sepanjang bergelar Presiden FAM yang paling lama berkhidmat iaitu selama 30 tahun dari 1984 hingga 2014.

Anugerah Belang Legenda itu telah disampaikan oleh Dato' Haji Hamidin kepada anakanda bongsu Almarhum iaitu Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.