KRONOS MALAYSIA TERUSKAN KOMITMEN BAGI MUSIM 2022, FAM RAIKAN PENGADIL

03.12.2021

Bagi menghargai komitmen barisan pengadil Liga Malaysia terhadap arena bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengadakan Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam. 

Dalam pada masa yang sama, Kronos Malaysia bersama badan induk bola sepak negara itu turut mengumumkan jalinan kerjasama yang diteruskan dengan menandatangani perjanjian penajaan untuk musim 2022 sehingga 2024. 

Majlis makan malam berkenaan dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato' S. Sivasundaram, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, Presiden Malaysian Football League, Dato' Ab. Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam serta Pengarah Kronos Malaysia, Tiew Cheng Tai dan Pengurus Besarnya, Vincent Lai Wai On. 

Selain itu, Mohd Fusser Mad Sallih dan Mohd Junaidy Abd Samad telah dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi Musim 2021 manakala Nurul Ain Izatty Zainal serta Nur Akmal Anuar pula dinobatkan sebagai Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik bagi Musim 2021.

Datuk Haji Hamidin berkata majlis makan malam penghargaan pengadil itu diadakan bagi menghargai sumbangan serta tenaga pengadil susulan kejayaan melaksanakan perlawanan di peringkat Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021. 

"Seperti yang kita maklum, bukan senang hendak jadi pengadil dimana prestasi mereka sentiasa menjadi tumpuan sepanjang musim menerusi penganjuran Liga Malaysia. 

"Alhamdulilah, secara keseluruhan, prestasi pengadil serta penolong pengadil untuk Liga Super dan Liga Premier 2021 berada pada tahap memuaskan meski pun perlawanan musim ini namun ini bukan tiket untuk mereka berasa selesa. 

"Untuk musim 2022, FAM telah bercadang unutk mewujudkan lebih banyak aktiviti-aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil di pelbagai peringkat menerusi anjuran kursus termasuk seminar tahunan yang merangkumi ujian kecergasan," kata Datuk Haji Hamidin.  

Tambah beliau lagi, menerusi penganugerahan yang diberikan pada majlis makan malam berkenaan, ia dapat menyuntik semangat kepada barisan pengadil untuk menjejakkan kaki ke pentas pertandingan paling tinggi dunia sekali gus mengharumkan nama negara. 

Selain itu, pengadil kelahiran Terengganu, Suhaimi Mat Hassan juga telah menerima penghargaan di atas sumbangan beliau pada aksi Final Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Moscow, Russia pada Ogos lalu. 

Beliau juga turut menerima sijil penghargaan bersara bersama tiga orang pengadil lagi iaitu Ku Alaudin Ku Muhammad, Ismadi Ibrahim, Busrah Eri dan Azman Ismail. 

Sementara itu, Vincent Lai melihat kerjasama yang diteruskan bersama FAM sebagai peluang untuk mengukuhkan lagi jenama Kronos di dalam pasaran tempatan. 

"Kehadiran FAM sebagai badan induk yang mengurus serta mentadbir arena bola sepak negara serta kepengadilan membantu Kronos untuk melebarkan lagi jenama Kronos di dalam kalangan penyokong bola sepak negara. 

"Untuk barangan rasmi pengadil seperti jersi baharu yang dilancarkan pada hari ini, ia akan mula dijual di cawangan Kronos yang terpilih bermula bulan hadapan. 

"Saya berharap menerusi kerjasama ini, ia dapat memeriahkan lagi sekali gus menaikkan martabat kepengadilan bola sepak di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," kata Vincent. 

03 Disember 2021