LFK 2018: MELAKA JUARA KATEGORI LELAKI & FELDA UNITED KUASAI KATEGORI WANITA

2018-08-27

Melaka dan Felda United berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang dimenangi musim lepas setelah masing-masing mengungguli Kategori Lelaki dan Wanita pada saingan liga yang berakhir di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam semalam.

Pasukan Melaka, kendalian Mohamad I'sah Abd Rahim mengakhiri kempen dengan rekod kemenangan seratus peratus termasuk ketika menewaskan pasukan Pahang 8-4 dalam aksi terakhir kategori lelaki. Pasukan Felda United pula membelasah pasukan tercorot, Sarawak 9-1 dalam perlawanan terakhir mereka semalam untuk meraih gelaran juara kategori Wanita.

Sepanjang 18 perlawanan musim LFK 2018, Melaka mempamerkan prestasi memukau apabila mencatatkan jumlah mata maksimum (54 mata) dengan menjaringkan 109 gol. Pasukan Melaka juga lebih awal lagi bergelar juara LFK 2018 walaupun masih berbaki empat perlawanan ketika itu.

Perak pula berjaya memintas Selangor United MPSJ dan mengakhiri kempen di tangga kedua apabila menewaskan Selangor United MPSJ 5-2 semalam.

Aksi tersebut menjadi tumpuan kerana Selangor United MPSJ yang berada di tangga kedua serta Perak yang menghuni kedudukan ketiga hanya dipisahkan dengan satu mata sahaja dan kemenangan akan meletakkan salah satu pasukan ini sebagai naib juara.

Perlawanan mendebarkan itu menjadi milik Perak dengan kemenangan 5-2 sekaligus menobatkan mereka selaku naib juara kategori lelaki. Kemenangan Perak ke atas Selangor United MPSJ juga memaksa pasukan dari Lembah Klang itu turun ke kedudukan ketiga.

Sementara itu, Pahang mengakhiri kempen di tangga keempat dengan 28 mata, diikuti dengan Kuantan Rangers di tempat kelima (27 mata), KL City di tangga keenam (26 mata).

Bagi saingan kategori wanita pula, keputusan seri 3-3 antara penghuni kedudukan kedua, Selangor United MPSJ dan Negeri Sembilan di hari kedua terakhir terus mengesahkan kejuaraan kedua berturut-turut buat Felda United dalam LFK 2018.

Selepas 14 perlawanan, Felda United memungut 37 mata diikuti Selangor United MPSJ dengan 31 mata dan Sabah menghuni tangga ketiga dengan mengumpulkan 27 mata selepas menewaskan pasukan Perak, 4-2 pada hari terakhir LFK 2018.

Pasukan wanita Perak terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat (25 mata) diikuti Negeri Sembilan (21 mata) di kedudukan kelima dan PDRM di tangga keenam (15 mata).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub dan Exco FAM, ACP Md Dali Wahid (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM). Turut hadir adalah Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.