Lions XII juara XOX Piala FA 2015

Kelab dari Singapura, LionsXII mencipta sejarah muncul pasukan berstatus kelab pertama muncul juara Piala FA selepas berjaya menewaskan juara dua kali, Kelantan 3-1 pada Perlawanan Akhir XOX Piala FA 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
 
 Skuad kendalian Fandi Ahmad itu mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Faris Ramli seawal minit keenam.
 
 Namun Kelantan yang dibimbing Azraai Khor Abdullah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-61 hasil sentuhan penyudah Wan Zack Haikal Wan Nor untuk menewaskan penjaga gol LionsXII, Izwan Mahbud.
 
 LionsXII kembali di depan apabila rembatan penyerang gantian, Sahil Suhaimi berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol kedua pada minit ke-81.
 
 Sahil menambah jaringan peribadi keduanya apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-91 untuk gol ketiga LionsXII.
 
KOMEN JURULATIH LIONS XII, FANDI AHMAD
 
"Pertama sekali, seperti yang saya janjikan semalam, kami berjaya membawa pulang Piala FA menyeberangi Tambak Johor. Kami berjaya melakukannya dengan cukup mencabar kerana Kelantan cukup baik malam ini dengan melakukan banyak asakan ke kubu kami.
 
 "Tapi kami tetap dianggap layak memenangi perlawanan kerana kami lebih berkesan menyudahkan peluang terhidang. Inilah pasukan LionsXII, kami tiada pemain bintang tetapi kami buktikan semua silap terutama penyokong Kelantan yang meramalkan kami akan tewas 2-0.
 
 "Apa pun saya gembira kami bertemu Kelantan kerana mereka salah satu pasukan terbaik. Mereka wajar mendapat pujian kerana melakukan serangan cukup hebat. Namun persembahan mantap dipamerkan barisan pertahanan kami terutama penjaga gol, Izwan Mahbud."
 
KOMEN JURULATIH KELANTAN, AZRAAI KHOR ABDULLAH
 
"Sudah tentu saya rasa cukup kecewa kerana kami gagal dalam misi untuk mengekalkan trofi Piala FA berada di bumi Malaysia. Selepas gol penyamaan, saya jangka semuanya akan okey tetapi peluang yang terhidang gagal disudahkan.
 
 "Sebaliknya kami membenarkan lawan menambah dua lagi gol dan saya anggap itu kesilapan kami sendiri dan kami perlu membayar harga yang cukup tinggi terhadapnya.
 
"Sudah tentu kekalahan di final ini cukup terkesan bagi saya terutamanya kami perlu meningkatkan lagi beberapa aspek terutama tahap konsentrasi dan disiplin kerana bukan mudah berdepan lawan seperti LionsXII yang secara taktikalnya cukup berdisiplin.
 
 "Kami ada peluang sepanjang perlawanan tetapi inilah bola sepak, kami perlu menerimanya. Bagi saya, apa yang kami pamerkan ini, bukan persembahan yang normal jika dibanding dengan aksi separuh akhir, minggu lalu. Kami jelas hilang fokus."
 
KOMEN PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR, IZWAN MAHBUD (PENJAGA GOL/KAPTEN LIONS XII)
 
"Pertama sekali, alhamdulillah kami berjaya melakukannya untuk muncul juara. Seperti apa dikatakan jurulatih, kami tiada pemain bintang dalam pasukan ini. Setiap pemain memainkan peranan masing-masing bekerja keras untuk pasukan.
 
 "Gelaran pemain terbaik perlawanan akhir ini bukan semata-mata untuk diri saya, tetapi untuk kami satu pasukan. Sebagai contoh, tanpa usaha Nazrul Nazari pada babak pertama, sudah tentu Kelantan lebih awal boleh mengikat kedudukan 1-1."
 
J Category: 
uncategorised6