MAJLIS UNDIAN & SIDANG MEDIA KELAYAKAN LIGA FUTSAL KEBANGSAAN (LFK) 2017

2016-12-20

Berikut komen jurulatih pasukan-pasukan yang akan bertanding pada Kelayakan  Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 ketika sesi sidang media selepas majlis undian di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.

 

KUMPULAN A:

 

A1 - SARAWAK

"Kami telah melakukan persiapan dalam tempoh sebulan lebih. Taruhan kami kali ini adalah pemain-pemain muda dan senior. InsyaAllah kita jumpa untuk perlawanan esok."

- Ahmad Media Sharkawi

 

A2 - KL IMIGRESEN FC

"Ini kali pertama kami bertanding dalam saingan kelayakan ini. Barisan pemain kami terdiri daripada pegawai-pegawai imigresen sendiri. Kami akan cuba beri tentangan."

- Jurucakap pasukan, Mohd Fadzriel Amrie Tajudin yang mewakili Ahmad Shukri Kasim

 

A3 - KL CITY FC

"Ini kali ketiga kami menyertai pusingan kelayakan dan tahun pertama saya sebagai jurulatih pasukan ini. Kami banyak mempertaruhkan pemain-pemain muda dan persiapan telah dilakukan selama tiga bulan."

- Jerry Dinesh Pireira

 

A4 - KL PETALING PUTRA

"Ini tahun kedua kami menyertai kelayakan ini. Tapi untuk kelayakan kali ini, persiapan pasukan sudah dibuat dalam tempoh dua minggu. Majoriti pemain kami terdiri dari kalangan pemain B-19 dan dari sekitar Lembah Klang."

- Penolong jurulatih, Ismail Firdaus Khalid yang mewakili Mohd Shafik Ezdee Mohd Nordin

 

A5 - SABAH QUILMES FC

"Edisi sebelum ini kami beraksi di LFK tetapi kali ini terpaksa bermula dari saingan kelayakan. Jadi kami perlu cuba sekali lagi. Pemain kami terdiri daripada 70 peratus pelajar politeknik seluruh negara yang akan digandingkan dengan beberapa pemain luar. Sasaran kami untuk layak."

-Zamry Ahmad Mokhtar

 

KUMPULAN B:

 

B1 - ATM

"Kami sudah dua kali bersaing dalam kelayakan dan insyaAllah kali ini kami akan cuba yang terbaik. Harap gandingan pemain-pemain lama dan muka-muka baharu akan dapat membantu pasukan untuk memberi saingan kali ini."

- Zaiasrol Alias

 

B2 - PERLIS KSMR KANGAR FC

"Pasukan ini terdiri daripada pemain-pemain muda dan kami telah menyertai kejohanan jemputan B-19 Piala Raja Iskandar Dzurkarnain di Perak baru-baru ini. Kami gabungkan dengan pemain-pemain yang beraksi di Liga IPT. Selain anak Perlis, kami 'import' juga dua atau tiga pemain berkualiti dari negeri lain untuk memberi tentangan dalam saingan kelayakan ini."

- Bakri Baharom

 

B3 - PULAU PINANG

"Kami hanya melakukan persiapan selama tiga minggu dan ini pengalaman pertama saya mengendalikan pasukan ini. Kami telah gabungkan 60 peratus muka baharu dan beberapa pemain luar terutama dari Kedah. Harap kami dapat memberikan cabaran untuk layak ke LFK 2017."

- Hasrinizam Hashim

 

B4 - PULAU PINANG MBPP

"Ini tahun pertama kami menyertai saingan kelayakan ini. Saya gabungkan pemain-pemain lama dan juga pemain amatur yang terdiri daripada staf MBPP sendiri. Sasaran kita untuk layak ke LFK 2017 kerana ia merupakan amanat dari Datuk Bandar Pulau Pinang."

- Mohamad Faizal Osman

 

B5 - PAHANG KUANTAN RANGERS FC

"Kami hadir sebagai wakil kelab dari negeri Pahang. Umum tahu yang Pahang mempunyai pasukan negeri dan kerana negeri Pahang ini agak besar, kemungkinan ada bakat-bakat terpendam. Jadi slot ini saya gunakan untuk menggabungkan pemain muda dan senior yang mana 80 peratus adalah pemain berasal dari Pahang."

- Mohammad Faizul Abdul Gaffar

 

 Majlis undian berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

 Kelayakan LFK 2017 bakal berlangsung selama tiga hari bermula Rabu ini, 21 Disember hingga Jumaat 23 Disember 2016 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

 Format pertandingan, lima pasukan diletakkan dalam Kumpulan A dan lima pasukan dalam Kumpulan B.

 Dua pasukan teratas akan layak ke perlawanan playoff iaitu Juara Kumpulan A lwn Naib Juara Kumpulan B manakala Juara Kumpulan B lwn Naib Juara Kumpulan A.

 Pemenang dua perlawanan playoff ini akan layak ke saingan LFK 2017 yang bakal bermula 4 Februari 2017 membabitkan sebanyak 10 pasukan bertanding dengan lapan pasukan sedia ada yang sudah menanti iaitu juara bertahan Felda United FC, T-Team, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Selangor, Pahang dan Sabah.

 Bagi kategori wanita pula, tiada pusingan kelayakan perlu diadakan apabila dua pasukan baharu iaitu ATM dan Sarawak terus layak automatik ke LFK 2017 yang akan disertai sebanyak lapan pasukan, dengan enam pasukan sedia ada terdiri daripada juara bertahan Selangor, Felda United FC, Sabah, PDRM, Perak dan Kuala Lumpur.