Malaysia layak ke final Pestabola

Malaysia menempah tempat di perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 setelah menewaskan Myanmar 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Isnin (9 Sept).

Thailand turut menghampiri final apabila pasukan itu menewaskan Singapura 1-0.  Gol kemenangan itu dijaringkan oleh pemain tengah, Pakom Pampak.

Pasukan Harimu Muda A Malaysia ketinggalan pada babak pertama perlawanan melalui jaringan Nay Lin Tun pada minit ke-37 namun , anak-anak buah Ong Kim Swee mempamerkan kekuatan mental yang tersendiri untuk bangkit mendapatkan dua jaringan untuk memastikan kemenangan.

Ketua pasukan, Mohd. Irfan Fazail menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum pemain yang sedang beraksi dengan kelab Jepun, Wan Zack Haikal Wan Nor memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia pada minit ke-78 di hadapan 3,000 penyokong.

Bertambah manis, kemenangan ini sekali gus meleraikan dendam tersirat pada pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun yang menyaksikan Malaysia kalah 1-2 di Yangon pada 3 Julai tahun lalu.

Ketika pemain Harimau Muda leka menyerang, tanpa diduga Myanmar mendiamkan seluruh Stadium Darul Makmur pada minit ke-37 apabila bola daripada sepakan penjuru disambut Lin Tun yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi dan Zubir Azmi berada di sebelah kiri gawang Malaysia pada minit ke-37.

Gol itu bagaikan sedikit meruntun keghairahan para pemain negara yang jelas menguasai sebahagian kira-kira 60 peratus permainan dan ternyata beraksi lebih tersusun berbanding pasukan lawan.

Semangat juang Malaysia kembali bernyala pada separuh masa kedua dan selepas melakukan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol Myanmar, gol penyamaan yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-64.

Daripada sepakan percuma yang diambil oleh Wan Zack Haikal, Junior menyambut bola tersebut dengan melakukan tandukan dan Irfan mudah menolak masuk ke dalam pintu gol yang terbuka.

Empat belas minit kemudian, Wan Zack tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol apabila memanfaatkan sepakan percuma pada jarak 25 meter melalui rembatan menarik yang gagal dijangkau Phyo Aung.

Bertambah mengecewakan buat Myanmar, mereka turut kehilangan pemain utama mereka, Kyi Lin, pada masa kecederaan yang mendapat kad merah kerana melawan keputusan pengadil perlawanan, Abdul Malik Abdul Bashir.

Kemenangan itu cukup melegakan Kim Swee sambil menyifatkan bukan sesuatu yang mudah berdepan lawan seperti Myanmar yang banyak memberikan masalah dan pantas melakukan serangan.

"'Perlawanan yang cukup sukar dan tidak mudah kerana Myanmar berikan banyak masalah terutama mereka bersungguh-sungguh bertahan mempertahankan jaringan yang diperoleh mereka pada babak pertama.

"Jika ditanyakan saya pemain terbaik pada hari ini, orang itu adalah Fadhli Shas yang mengemudi barisan pertahanan dengan baik dan Zubir Azmi yang berjaya mengawal Kyi Lin," katanya.

 

J Category: 
uncategorised8