MALAYSIA NAIB JUARA PIALA FUTSAL KOMANWEL 2015

Malaysia muncul naib juara Piala Futsal Komanwel 2015 selepas tewas 1-0 kepada Australia pada perlawanan terakhir di Pusat Sukan ASB, Wellington, New Zealand, hari ini.
 
 Selepas berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama, gawang Malaysia dikawal Azrul Hadee Mohd Taufiq akhirnya bocor menerusi jaringan kemenangan Wade Giovenali pada minit ke-32.
 
Pada satu lagi perlawanan, tuan rumah, New Zealand akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung selepas menewaskan Vanuatu 10-4.
 
 Terdahulu pada dua perlawanan sebelum ini, Malaysia kendalian jurulatih Marcelo Serpa berjaya meraih dua kemenangan berturut dengan menewaskan Vanuatu 7-3,  kelmarin dan mengatasi tuan rumah, New Zealand 5-2, semalam.
 
 Selepas berakhir saingan secara liga sepusingan dengan setiap pasukan beraksi tiga perlawanan, Australia muncul juara selepas mengumpul sembilan mata maksimum diikuti Malaysia (6 mata), New Zealand (3 mata) dan Vanuatu (0 mata).
 
 Penyertaan Malaysia pada Piala Futsal Komanwel 2015 ini adalah sebagai persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2015 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 16 Oktober ini.
 
 Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand serta Timor Leste, Brunei dan Singapura.
 
 Kumpulan B pula dibarisi naib juara edisi 2014, Australia serta Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina.
 
J Category: 
article/futsal