Malaysia naik 4 anak tangga ranking FIFA

Kedudukan skuad bola sepak negara melonjak empat anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-150 dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam.

Ranking terkini itu menyaksikan skuad negara yang dikendalikan sementara oleh Datuk Ong Kim Swee berkongsi kedudukan dengan Singapura dan Liechtenstein selain turut setanding dengan beberapa negara lain seperti Guyana dan India (kedua-duanya 154) serta Puerto Rico (157).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (143), Thailand (147) serta Singapura (150).

Di peringkat Asia, Malaysia turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Skuad Harimau Malaya dijangka menentang Filipina dalam aksi persahabatan pada 1 Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum berdepan Yemen pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), empat hari kemudian.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,506 mata.- Bernama

 
 

J Category: 
article/latest-news