MISC-MIFA JULANG PIALA FAM 2016, LEBUR REKOD TEMPAT SENDIRI PKNP

2016-10-28

MISC-MIFA berjaya melakar sejarah apabila muncul juara Piala FAM 2016 setelah menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, 2-1 pada Perlawanan Akhir Kedua di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Skuad bimbingan jurulatih Jacob Joseph itu menang menerusi agregat 3-1 selepas mengatasi PKNP 1-0 pada Perlawanan Akhir Pertama di Stadium Shah Alam, 20 Oktober lalu.

Pemain sayap MISC-MIFA, M Yoges menjaringkan gol seawal minit ke-4 menerusi satu gerakan serangan balas untuk pasukan pelawat melebarkan kedudukan agregat 2-0. Muhammad Munawwar Shavukath Ali kemudiannya meletakkan MISC-MIFA di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-67.

Gol saguhati tuan rumah pula dijaringkan oleh Muhammad Mazni Khairul Hasnan pada minit ke-72 sebelum ketua pasukan, Fazli Zulkifli diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua lapan minit kemudian. Keputusan 2-1 itu juga menyaksikan MISC-MIFA berjaya memecahkan rekod tanpa kalah PKNP di Stadium Perak musim ini.

Selaku juara, MISC-MIFA membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000 manakala PKNP sebagai naib juara menerima RM100,000.

KOMEN KETUA JURULATIH PKNP FC, ABU BAKAR FADZIM

“Kita berada dalam tekanan apabila bolos gol pada awal permainan akibat kealpaan barisan pertahanan  dan pada perlawanan akhir pertama dihukum gol sepakan penalti minit akhir. Ia menyukarkan keadaan buat pemain-pemain kita.

“Bagaimanapun, kita akur dengan keputusan malam ini. Tahniah saya ucapkan buat pasukan MISC-MIFA. Saya rasa perlawanan akhir ini memberikan pengalaman yang berharga buat PKNP.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain yang tidak berputus asa dan akhirnya berjaya menjaringkan satu gol serta memberikan saingan kepada pasukan mereka.

“Beliau (Fazli) hilang sedikit pertimbangan dan saya sudah mengingati beliau. Saya berharap dia akan belajar dari kesilapannya malam ini.”

KOMEN KETUA JURULATIH MISC-MIFA, JACOB JOSEPH

“Saya berasa amat gembira kerana kita telah berjaya menepati sasaran yang telah ditetapkan iaitu untuk menjadi juara Piala FAM.

“Separuh masa pertama pemain-pemain bermain baik, tetapi separuh masa kedua kita agak leka terutama di bahagian tengah yang menyebabkan bolos satu gol.

“Kita akan memperkuatkan pasukan dengan tiga orang pemain import untuk mencapai sasaran kedudukan pertengahan Liga Perdana musim hadapan."