Pahang pintas JDT di tangga teratas Liga Super

Pahang berjaya merampas semula tangga teratas Liga Super 2015 selepas meraih satu mata apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perak pada perlawanan ke-20 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
 
 Ia berikutan kekalahan juara bertahan yang juga pendahulu carta liga pada dua perlawanan sebelum ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Kelantan 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
 
 Berbaki dua lagi perlawanan, Pahang dan JDT kini berkongsi 43 mata dan terikat dengan beza jaringan sama iaitu 16 gol. Namun Pahang di kedudukan teratas berdasarkan kelebihan jumlah gol berbanding JDT.
 
 Selangor pula kekal di tangga ketiga selepas berjaya mengikat Lions XII 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
 
 Felda United FC naik dua anak tangga untuk merampas kedudukan keempat liga selepas berjaya menamatkan rekod enam kemenangan berturut Terengganu menerusi kemenangan tipis 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
 
 PDRM terpaksa turun satu anak tangga ke kedudukan keenam liga selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Sime Darby FC yang kini sah turun ke Liga Premier 2016 pada aksi di Stadium Shah Alam.
 
 Sementara itu, pertembungan pasukan tangga kedua dan ketiga tercorot, ATM dan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berakhir seri 1-1 untuk kedua-dua pasukan terus berjuang mengelak daripada mengisi satu lagi slot mengiringi Sime Darby FC turun ke Liga Premier 2016.
 
 Perlawanan ke-21 akan berlangsung pada Rabu ini (19 Ogos) disusuli perlawanan terakhir liga pada Sabtu (22 Ogos).
 

 
KEPUTUSAN MALAM TADI:
 
PERAK 1
Bobby Gonzales m-69
PAHANG 1
Hafiz Kamal m-31
 
KELANTAN 4
Gilmar da Silva Filho m-4 & m-83,
Badhri Radzi m-13 (p),
Nor Farhan Muhammad m-52
JOHOR DARUL TA'ZIM 1
Mahalli Jasuli m-50
 
LIONS XII 1
Khairul Nizam Kamal m-88
SELANGOR 1
Afiq Azmi m-59
 
FELDA UNITED FC 1
Ndumba Makeche m-58
TERENGGANU 0
 
PDRM 1
Dramane Traore m-19
SIME DARBY FC 1
Nizad Ayub m-89
 
ATM 1
Abdulafees Abdulsalam m-5
SARAWAK 1
Tommy Mawat m-54
J Category: 
uncategorised6