Pasukan pemantau perhatikan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membentuk sebuah pasukan pemantau bagi mengawasi “tindak tanduk mencuriga” dalam usaha memerangi gejala mengatur perlawanan dalam bolasepak negara.

Pasukan pemantau itu akan memerhati pemain, pegawai atau pengadil perlawanan dalam usaha terus memerangi gejala mengatur perlawanan itu.

Pasukan pemantau ini mengandungi pegawai FAM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil persatuan negeri yang di bawah Jawatankuasa Integriti FAM.

Kata Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Haji Mohd. Amin, cadangan penubuhannya sedang diperhalusi hasil mesyuarat pertama jawatankuasa ini dengan pengerusi dan setiausaha jawatankuasa sama di peringkat negeri, kelab gabungan dan pasukan Liga M, semalam (17 Sept).

"Kami akan memperhalusinya dalam mesyuarat akan datang jawatankuasa ini. Pemantauannya tertumpu pada perlawanan tertentu yang difikirkan mustahak," katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat di Pusat Maritim Putrajaya.

Kata Dato’ Hamidin, semua persatuan negeri juga perlu menghantar laporan mengenai kemungkinan masalah rasuah bola sepak di peringkat persatuan atau pasukan, sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali atau sebulan sekali kepada FAM.

"Selain laporan bertulis, bagi membanteras gejala itu, perjumpaan FAM dan jawatankuasa negeri perlu diadakan secara kerap atau sekurang-kurangnya tiga bulan sekali kerana jika kita dapat lebih maklumat, hal itu akan lebih jelas dan lebih bagus.

"Bagi jawatankuasa peringkat negeri, setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Super, Perdana atau FAM, akan mempunyai dua wakil dan mesyuarat perlu diadakan sebulan atau dua bulan sekali," katanya.

 

J Category: 
article/latest-news