Pemain beri reaksi positif perubahan diterap Dollah

Selepas masuk hari keempat kem latihan pusat skuad Pilihan Malaysia, hari ini, jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh menyifatkan para pelatihnya memberikan reaksi positif terhadap perubahan corak latihan diterapkannya.
 
 Perubahan cuba dilakukan Dollah sejak kem latihan itu bermula Isnin lalu selepas beliau dan empat pembantunya 'berguru' selama seminggu di Jepun, 6 hingga 14 Mei lalu.
 
 "Banyak perubahan sebenarnya yang saya lakukan dari segi latihan selepas kami pulang dari Jepun. Alhamdulillah, respon ditunjukkan para pemain setakat ini cukup baik.
 
 "Cuma apa yang saya idamkan, ia belum lagi nampak. Mungkin kerana mereka baru lagi dengan corak yang cuba kami terapkan.
 
 "Apa pun, kesungguhan dan komitmen ditunjukkan semua pemain termasuk import, saya cukup puas hati," kata Dollah selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi ini.
 
 Sesi latihan itu disertai 21 pemain selepas pemain Pulau Pinang, Yong Kuong Yong diberikan pelepasan dua hari bermula semalam untuk majlis perkahwinannya dan akan kembali menyertai latihan, petang esok.
 
 Bagaimanapun pengganti tempat Namkung Woong iaitu rakan sepasukannya dari Perak, Thiago Junio  belum melaporkan diri setakat pagi ini.
 
 "Kami masih belum mendapat kepastian. Tapi katanya, hari ini Thiago akan tiba di Malaysia selepas pulang bercuti dan esok dia akan mula menyertai latihan," jelas Dollah.
 
 Setakat ini, empat pemain import sudah menyertai kem latihan pusat itu untuk memperkuatkan barisan Pilihan Malaysia bertemu Tottenham, 27 Mei ini iaitu Ashfaq Ali (PDRM), Paulo Rangel (Terengganu) serta Robert Cornthwaite dan Guilherme De Paula (Selangor).
 
J Category: 
uncategorised7