PENCALONAN BAGI PEMILIHAN JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM 2021-2025 MULA DIBUKA

2021-01-13

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah mengedarkan borang pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025 kepada kesemua 20 ahli gabungannya.

Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang bermesyuarat kali terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam telah meluluskan Kod Pemilihan FAM bagi proses pelaksanaan pemilihan penggal baharu itu.

Mesyuarat semalam turut bersetuju dengan penetapan tarikh Kongres FAM Ke-57 iaitu pada 13 Mac 2021 di Hilton Petaling Jaya yang mana pemilihan bagi jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 itu akan diadakan pada kongres tersebut.

Buat pertama kalinya, proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM, sebuah jawatankuasa bebas yang pembentukannya telah diluluskan pada Kongres FAM Ke-56, tahun lalu dan ia juga akan diadakan dengan mengguna pakai Kod Pemilihan FAM yang baru diluluskan itu.

Selain saya selaku pengerusi, Jawatankuasa Pemilihan FAM ini turut dianggotai oleh tiga orang ahli iaitu Dato' Hj Ab Jalil Abdullah, bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN); Tuan Haji Salleh Ramli, bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan & Kedah serta Fong Wan Hor, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Untuk makluman semua, borang pencalonan yang telah diedarkan itu perlu diisi dengan lengkap nama-nama calon bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Exco, masing-masing oleh setiap 20 ahli gabungan FAM selewat-lewatnya jam 5.30 petang pada Khamis, 11 Februari 2021.

Sebanyak 17 kerusi diperuntukkan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM iaitu seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas untuk wanita).

Mengikut Artikel 27 (4) Statut FAM, calon yang ingin bertanding jawatan Presiden memerlukan minimum 6 pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM, jawatan Timbalan Presiden memerlukan minimum 5 pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan minimum 4 pencalonan manakala jawatan Exco memerlukan minimum 2 pencalonan.

Maklumat lanjut berhubung proses pencalonan dan pemilihan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.

 

PROF. DATO' DR. ABDULLAH MOHAMAD SAID

PENGERUSI JAWATANKUASA PEMILIHAN FAM