PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": KEMBOJA 1 MALAYSIA 3

2018-09-11

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama untuk berjaya mencatat kemenangan di gelanggang lawan dengan menewaskan Kemboja 3-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, malam tadi.

Selepas tewas 2-0 kepada Chinese Taipei pada aksi terdahulu di Taipei City pada 7 September, Cheng Hoe melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan mempertaruhkan Khairul Fahmi Che Mat di gawang serta menampilkan Rawilson Batuil, Syazwan Andik Ishak, Nasir Basharudin dan Akhyar Rashid.

Sepak mula perlawanan ditunda 30 minit ekoran hujan lebat dan padang rumput tiruan ditakungi air bagaimanapun tidak mengganggu rentak permainan pantas apabila perlawanan dimulakan terutama buat tuan rumah, Kemboja yang tampak lebih garang dengan dibantu sokongan 40,000 penyokong sendiri dan sentuhan sulung pengendali baharu dari Jepun, Keisuke Honda.

Hasilnya, Kemboja berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-18 menerusi rembatan padu dalam kotak penalti Soeuy Visal yang berpunca daripada sepakan percuma sebelum itu.

Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, Cheng Hoe melakukan tiga pertukaran serentak pada minit ke-58 bagi memberi nafas baharu dalam corak permainan pasukan untuk memburu gol penyamaan dengan memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi, Fazly Mazlan dan Amirul Azhan Aznan menggantikan Nazmi Faiz Mansor, Akhyar dan Mahalli Jasuli.

Ternyata kemasukan Shahrel Fikri untuk bergandingan dengan kapten, Zaquan Adha Abd Radzak di barisan depan berjaya memecah keampuhan benteng pertahanan tuan rumah apabila Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-62.

Sepakan percuma Syazwan Andik yang ditanduk Shahrel Fikri ditepis penjaga gol Kemboja, Sou Yaty, namun tindakan susulan pantas dilakukan pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad untuk menolak bola masuk bagi gol penyamaan tersebut.

Tuan rumah terus tertekan apabila Malaysia berjaya menambah gol kedua pada minit ke-74, kali ini Shahrel Fikri melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan untuk disudahkan menerusi tandukan tepat Syazwan Andik yang gagal diselamatkan Yaty.

Tersentak dengan gol berkenaan, Kemboja kembali meningkatkan serangan dan beroleh beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun dihampakan kecekapan Khairul Fahmi yang beberapa kali melayangkan badannya untuk menangkis percubaan-percubaan berbahaya tuan rumah.

Sisa perjuangan Kemboja untuk mengelak kekalahan dileburkan Shahrel Fikri yang jelas menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila penyerang yang beraksi bersama kelab Thailand, Nakhon Ratchasima itu berjaya menjaringkan gol ketiga Malaysia pada masa kecederaan selepas tenang menyudahkan bola lorongan daripada Fazly untuk keputusan penuh 3-1.

Skuad Harimau Malaya selepas ini akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" dalam siri persiapan menjelang Piala Suzuki AFF 2018, November ini iaitu pertemuan dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan disusuli aksi menentang Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober 2018.

 

CAMBODIA: 1-Sou Yaty (GK), 5-Soeuy Visal, 6-Hong Pheng (13-In Sodavid 74'), 8-Kouch Sokumpheak (C), 9-Keo Sokpheng, 10-Sos Suhana (12-Brak Thiva 63'), 11-Sin Kakada (15-Tith Dina 63'), 14-Reung Bunheing, 17-Chhin Chhoeun (2-Nen Sothearoth 78'), 19-Cheng Meng (3-Sath Rosib 78'), 23-Thierry Chantha Bin (18-Sor Piseth 74').

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat (GK); 18-Mahalli Jasuli (2-Amirul Azhan Aznan 58'), 3-Shahrul Saad, 24-Rawilson Batuil, 21-Syazwan Andik Ishak; 14-Nasir Basharudin (20-Azzizan Nordin 23'), 12-Akram Mahinan; 16-Syazwan Zainon (19-Syahmi Safari 73'), 10-Nazmi Faiz Mansor (13-Shahrel Fikri Md Fauzi 58'), 7-Akhyar Rashid (5-Fazly Mazlan 59'); 8-Zaquan Adha Abd Radzak (C) (6-Nik Akif Syahiran Nik Mat 79').

Pengadil: Nguyen Hien Triet (Vietnam)

 

KREDIT FOTO: FOOTBALL FEDERATION OF CAMBODIA