PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": MALAYSIA 1-0 FIJI

2018-07-06

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mencatat kemenangan kedua berturut apabila berjaya menewaskan Fiji 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Gol tunggal skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-19 apabila beliau bijak menyudahkan hantaran lintang dari pemain sayap kebangsaan, Syazwan Zainon.
 
Tetapi itulah aksi terakhir buat penyerang itu kerana terpaksa dikeluarkan akibat mengalami kecederaan selepas menjaringkan gol tersebut. 

Malaysia terus melakukan serangan di penghujung babak pertama serta separuh masa kedua, namun gagal memecah kebuntuan untuk melebarkan jaringan gol.

Peluang terbaik pasukan kebangsaan hadir melalui gerakan Wan Zack Haikal pada minit ke-57.  Meskipun rembatannya berjaya menewaskan penjaga gol Fiji, Misiwani Nairube, namun pemain sayap itu dikesan berada pada kedudukan offside.

Kemenangan ini juga merupakan kemenangan kedua berturut untuk skuad Harimau Malaya apabila mereka membelasah Bhutan 7-0 April lalu dan tentunya berada dalam landasan yang betul dalam perjuangan memperbaiki lagi kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA bagi kemas kini akan datang pada 19 Julai ini.

Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat (PG)(K) (Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG) 46’), Rizal Ghazali, Adam Nor Azlin, Shahrul Saad, Syazwan Andik (Nasir Basharudin 87’), Irfan Zakaria, Akram Mahinan, Safawi Rasid (Nazirul Naim Che Hashim 67’), Nazmi Faiz Mansor, Syazwan Zainon (Kenny Pallraj 77’), Syafiq Ahmad (Shafiq Shaharudin 26’ (Wan Zack Haikal Wan Nor 46’)).

Fiji: Misiwani Nairube (PG), Kavaia Rawaqa (Ilisoni Logaivou Tuinawaivuvu 81’), Zibraaz Hanif Sahib, Remueru, Paulo Buke (Epeli Leiroti 76’), Rusiate Matarerega (Ratu Kaliova Rokomaya Dau 66’), Christopher Frances Wasasala (Filipe Baravilala 93’), Kishan Ravinesh Sami (Atonio Tuivuna 92’), Mitieli Namuka (Savenaca Tabilai Baledrokadroka 34’), Kolinio Vakarauvanua Sivoki, Laisenia Raura Naioko. 

Pengadil: Mongkolchai Pechhri