PERLAWANAN ANTARABANGSA TIER 1: MALAYSIA 1-0 TAJIKISTAN

2019-11-10

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan kempat dan kelima Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November 2019 dan bertemu Indonesia pada 19 November 2019, kedua-duanya juga di Bukit Jalil.

Pada aksi malam tadi, Malaysia yang kini di ranking ke-158 dunia berjaya menyaingi permainan skuad lawan kendalian Usmon Toshev itu dan kedudukan separuh masa pertama terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, Tajikistan terpaksa beraksi 10 pemain selepas penjaga golnya, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah kerana menyentuh bola menggunakan tangan di luar kotak penalti pada minit ke-46.

Bagi memperkasa jentera serangan, Cheng Hoe telah membawa masuk Safawi Rasid pada minit ke-62 dan pemain sayap itu terus mengambil sepakan percuma yang menggegar palang gol Tajikistan, seminit kemudian.

Akhirnya Safawi berjaya menjaringkan gol pada minit ke-72 menerusi sepakan lencong kaki kiri selepas memperdaya kapten Tajikistan, Akhtam Nazarov berpunca daripada bola hantaran Brendan Gan ke sebelah kanan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk kemenangan moral buat skuad Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Thailand pada 14 November ini.

 

MALAYSIA: 22. Khairulazhan Khalid (PG); 2. Matthew Davies (11. Safawi Rasid 62'), 3. Shahrul Saad, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K) (5. Adam Nor Azlin 62'), 6. La'Vere Corbin-Ong (16. Syazwan Andik Ishak 67'); 14. Syamer Kutty Abba, 17. Baddrol Bakhtiar (15. Brendan Gan 46'), 8. Nor Azam Abdul Azih; 4. Syahmi Safari, 20. Syafiq Ahmad (9. Norshahrul Idlan Talaha 77'), 19. Akhyar Rashid (24. Farhan Roslan 70').

TAJIKISTAN: 1. Rustam Yatimov (PG); 2. Manuchehr Safarov (5. Iskandar Dzhalilov 77'), 6. Davron Ergashev, 3. Tabrezi Davlatmir, 19. Akhtam Nazarov (K) (14. Sheriddin Boboev 87'); 17. Ehson Panjshanbe (8. Nuriddin Davronov 80'), 20. Amirbek Juraboev, 10. Alisher Dzhalilov; 12. Jahongir Ergashev (11. Muhammadjon Rakhimov 67'), 21. Manuchekhr Dzhalilov (23. Shokhrukh Kirgizboev (GK) 50'), 18. Fatkhullo Fatkhuloev (7. Komron Tursunov 72').

Pengadil: Razlan Joffri Ali (Malaysia)