PERLAWANAN LATIHAN: MALAYSIA 4-3 MALAYSIA B-22

2016-11-11

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia berjaya mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas skuad B-22 negara pada perlawanan latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

 Jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mempertaruhkan penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Matthew Davies, Shahrom Kalam, Fadhli Shas, Ahmad Khuzaimi Piee, Amri Yahyah, Shahrul Saad, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Darren Lok dan Norshahrul Idlan Talaha dalam kesebelasan utama.

 Skuad B-22 negara kendalian Frank Bernhardt bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan percuma Adam Nor Azlin pada minit ke-8 sebelum skuad kebangsaan menyamakan kedudukan hasil penyudah Amri pada minit ke-23.

 Skuad B-22 negara kembali mendahului 2-1 pada minit ke-29 menerusi tandukan kemas Syafiq Ahmad.

 Namun skuad kebangsaan berjaya membalas dua gol pantas pada masa kecederaan babak pertama menerusi Shahrom dan Syazwan untuk skuad Kim Swee mendahului 3-2 pada separuh masa pertama.

 Selepas melakukan satu penggantian pada separuh masa pertama, Nazirul Naim Che Hashim menggantikan Ahmad Khuzaimi yang cedera, Kim Swee telah melakukan sembilan pertukaran serentak sebaik babak kedua bermula.

 Hanya Darren dan Nazirul Naim dikekalkan manakala sembilan pemain yang masuk terdiri daripada penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari, Ronny Harun, Zaquan Adha Abd Radzak, S Veenod, Irfan Fazail, Hadin Azman dan Ahmad Hazwan Bakri.

 Dua lagi penggantian dilakukan Kim Swee selepas itu dengan Safee Sali menggantikan Darren pada minit ke-60 dan Ahmad Fakri Saarani menggantikan Ahmad Hazwan, minit ke-71.

 Skuad B-22 berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Jafri Firdaus Chew pada minit ke-78, namun Zaquan Adha muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan skuad kebangsaan pada minit ke-85.

 Perlawanan latihan ini akan disusuli perlawanan persahabatan antarabangsa "A" bertemu Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin ini (14 November) sebelum skuad Harimau Malaysia berlepas ke Yangon, Myanmar pada Rabu untuk menghadapi saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bermula 20 November ini.

 

KOMEN KETUA JURULATIH KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE

"Satu perlawanan yang cukup baik untuk pasukan kita terutama saya dapat memberi sekurang-kurangnya 45 minit aksi kepada setiap pemain dalam keadaan cuaca yang tidak begitu baik akibat hujan dan padang yang agak lembut.

 "Apa pun, daripada perlawanan ini, ia telah memberikan saya sedikit gambaran apa yang perlu kita lakukan lagi sebelum aksi persahabatan terakhir bertemu Papua New Guinea, Isnin ini.

 "Cara kita bermain juga masih belum lagi memuaskan. Kita tahu, kebiasaan apabila pasukan B-22 atau B-23 berdepan pasukan senior, mereka akan beri tentangan cukup sengit dan ini bagus kerana kita memerlukan intensiti seperti ini apabila beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

 "Saya difahamkan Ahmad Khuzaimi mengalami kecederaan hamstring dan saya perlu meneliti terlebih dahulu betapa teruk kecederaannya itu. Jika dia tak sempat pulih, saya ada senarai 40 pemain dan akan berbincang dahulu untuk melihat siapa pemain yang ada jika perlu kita memanggil pemain baharu.

 "Buat masa ini kita hanya ada Nazirul Naim di posisi pertahanan kiri itu dan pemain lain yang boleh diubah ke posisi berkenaan antaranya Ronny, Matthew atau Rizal, bergantung kepada keadaan."