Perlawanan Piala Malaysia 2015 ditunda jika IPU melebihi 150

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah membuat ketetapan bahawa perlawanan Piala Malaysia 2015 yang sedang berlangsung ketika ini akan ditunda ke tarikh lain jika didapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di venue terlibat melebihi 150.
 
 Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Afandi Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, pengiraan bacaan IPU itu akan dibuat setiap sejam pada hari perlawanan dan status sama ada perlawanan di venue terlibat dapat diteruskan atau ditunda akan diputuskan oleh pesuruhjaya perlawanan (match commissioner).
 
 "Kita akan memantau bacaan IPU setiap sejam iaitu sebelum dan semasa perlawanan berlangsung.
 
 "Kita telah berbincang banyak perkara pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, sebentar tadi dan turut mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan berkaitan isu jerebu ini.
 
 "Selepas mengambil kira semua perkara, kita telah membuat ketetapan bahawa mana-mana perlawanan Piala Malaysia 2015 yang bacaan IPU di venue berkenaan melebihi 150, pesuruhjaya perlawanan akan mengadakan perbincangan untuk menentukan status perlawanan  tersebut sama ada ditunda atau sebagainya.
 
 "Jika ada penundaan, kita akan mengikut peraturan yang digunapakai untuk menentukan tarikh baharu perlawanan terlibat yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.
 
 "Kita terpaksa membuat ketetapan hanya pada hari perlawanan kerana jerebu tidak boleh dijangka. Bacaan IPU sentiasa berubah setiap hari," kata Afandi selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.
 
 Perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia 2015 telah berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu.
 
 Perlawanan kedua dijadual berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini.
J Category: 
uncategorised6