PERSAHABATAN ANTARABANGSA "A": MALAYSIA 0-0 MYANMAR

2016-05-29

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee meraih keputusan seri 0-0 dengan Myanmar pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A' di Stadium Thuwunna, Youth Training Centre (YTC), Yangon, malam tadi.

 Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit permainan dengan Myanmar, ranking ke-167 dunia kendalian jurulatih dari Jerman, Gerd Zeise dan Malaysia, ranking ke-174 masing-masing memiliki peluang terbaik menjaringkan gol.

 Terdahulu, Kim Swee terpaksa melakukan pertukaran akhir pada barisan kesebelasan utamanya selepas pemain tengah Kelantan, Brendan Gan mengalami keracunan makanan dan tempatnya diisi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Putera Nadher Amarhan Maderner atau lebih dikenali Junior Eldstal.

 Skuad Harimau Malaysia memberi amaran awal pada minit keempat, namun percubaan pemain sayap kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sedikit sipi dari gawang tuan rumah.

 Myanmar turut menguji kubu skuad negara tetapi sepakan pemain sayap kirinya, Maung Maung Lwin pada minit ke-21 sedikit tinggi melewati palang gol yang dikawal Izham Tarmizi Roslan.

 Selang 10 minit kemudian, Myanmar hampir memecah kebuntuan menerusi satu serangan balas, mujur percubaan penyerang utamanya, Kyaw Ko Ko sedikit sipi.

 Malaysia pula nyaris memperoleh gol pertama pada minit ke-33 tetapi percubaan Amirulhadi Zainal di depan pintu gol Myanmar berjaya ditampan baik penjaga golnya, Pyae Phyo Aung.

 Bersambung babak kedua, Izham Tarmizi menyelamatkan gawang negara pada minit ke-56 apabila berjaya menepis sepakan penyerang gantian Myanmar, Than Paing.

 Gawang negara bocor pada minit ke-61 tetapi jaringan Paing itu dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

 Selepas itu, kedua-dua pasukan saling beroleh kemenangan tetapi sehingga berakhir tambahan masa lima minit diberikan pengadil, tiada jaringan berjaya dihasilkan.

 Skuad Harimau Malaysia akan pulang ke tanah air, hari ini dan terus ke Johor Bahru untuk menghadapi dua perlawanan Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste pada 2 dan 6 Jun ini di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

FOTO: MYANMAR FOOTBALL FEDERATION

 

MYANMAR: 23-Pyae Phyo Aung (1-Yan Aung Lin 46'), 11-Myo Ko Tun, 2-Aung Zaw, 15-Phyo Ko Ko Thein, 17-Hein Thiha Zaw (8-Kyi Lin 46') (14-Win Naing Soe 89'), 4-David Htan, 6-Yan Aung Kyaw (C), 7-Ye Ko Oo (16-Hlaing Bo Bo 90+5'), 21-Maung Maung Lwin (20-Suan Lam Mang 46'), 9-Aung Thu, 10-Kyaw Ko Ko (22-Than Paing 46').

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 16-S Kunanlan, 5-Shahrom Abdul Kalam, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (C), 6-Fazly Mazlan (24-Khair Jefri Jones 72'), 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (18-S Chanthuru 54'), 15-Putera Nadher Amarhan Maderner (13-Amirul Hisyam Awang Kechik 54'), 11-Baddrol Bakhtiar, 17-Amri Yahyah (19-Christie Jayaseelan 54'), 21-Amirulhadi Zainal (8-Zaquan Adha Abd Radzak 68'), 12-Ahmad Hazwan Bakri (10-S Kumaahran 68').

Pengadil: Sivakorn Pu-udom (Thailand)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE:

"Saya percaya daripada perlawanan malam ini kita bermain agak baik. Tapi saya percaya kita mampu bermain dengan lebih baik di mana banyak hantaran-hantaran yang silap dilakukan menyebabkan kita diasak dengan serangan-serangan balas pasukan Myanmar.

  "Ini satu perlawanan sukar dan saya fikir ia mencapai tujuan buat kedua-dua pasukan dan sudah tentu buat kami, selepas perlawanan terakhir menentang Macau dan hari ini anak-anak buah saya bermain dengan pasukan lebih kuat.

 "Seperti saya katakan, Myanmar memiliki pemain muda bagus dan mereka mencipta banyak masalah buat kami. Tapi saya fikir pasukan Malaysia akan bertambah lebih baik selepas ini dan saya memandang ke hadapan aksi menentang Timor Leste pula selepas ini.

 "Kita kena tahu yang setiap perlawanan yang kita inginkan satu kemenangan tetapi apabila beraksi di tempat lawan dan pada masa yang sama, saya perlu memikirkan tahap kecergasan pemain. Hanya tinggal beberapa hari dan apa yang ditunjukkan oleh para pemain, saya percaya harus bertambah baik selepas ini pada perlawanan pertama play-off pada 2 Jun ini.

 " Untuk perlawanan ini, barisan pertahanan tidak melakukan banyak kesilapan. Seperti saya katakan, hantaran-hantaran kita yang menyebabkan pasukan Myanmar dilihat sebagai satu pasukan yang kuat, di mana hantaran yang silap, kesilapan kita sendiri yang memberi ruang untuk pasukan Myanmar ke hadapan lebih kerap."