PERSAHABATAN ANTARABANGSA: MALAYSIA B-22 0-0 BAHRAIN B-22

2016-08-30

Skuad Harimau Malaysia Bawah 22 (B-22) kendalian ketua jurulatih, Frank Bernhardt meraih keputusan seri 0-0 dengan pasukan Bahrain B-22 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tampil dengan formasi 4-2-3-1, Malaysia menguasai hampir keseluruhan permainan dengan serangan bertali arus namun berjaya dinafikan oleh kecekapan penjaga gol pasukan lawan, Mahboob Yahya Al Doseri.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu menguji kubu skuad negara yang dikemudi ketua pasukan, Adib Zainuddin dengan cubaan Hazza Ali Mubarak ditepis oleh penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-10. Selang empat minit kemudian, tandukan penyerang, Jafri Firdaus Chew tersasar sebelum cubaan S Kumaahran melewati palang gol pada minit ke-17.

Bersambung babak kedua, Mahboob tangkas menafikan dua percubaan berturut skuad negara pada minit ke-47. Sepakan sudut Irfan Zakaria tepat menemui N Thanabalan yang menyaksikan tandukannya ditepis sebelum tandukan susulan Adib turut ditepis penjaga gol berusia 20 tahun itu.

Perlawanan kedua dijadual berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Jumaat ini.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

"Kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol tetapi malangnya tidak menemui sentuhan penyudah yang baik. Kelemahan ini perlu diperbaiki. Apapun, kami akan terus mencuba untuk mendapatkan keputusan yang lebih positif pada perlawanan kedua, Jumaat ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan malam ini. Para pemain telah bekerja keras untuk satu sama lain menentang pasukan dari Timur Tengah yang merupakan bukan lawan yang mudah."