PERSAHABATAN: CHINA B-22 1-0 MALAYSIA B-22

2017-06-11

Skuad B-22 kebangsaan kalah tipis 1-0 kepada China B-22 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Pusat Sukan Xiangtan, China, malam tadi, aksi pertama di bawah kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee yang menggantikan Frank Bernhardt.

 Biarpun dibolosi seawal 23 saat permainan bermula menerusi tandukan Xiang Bai Xu yang berpunca kegagalan barisan pemain negara menyekat serangan sulung China, skuad Projek Sukan SEA 2017 itu berjaya bangkit mempamerkan persembahan lebih baik terutama sepanjang separuh masa kedua.

 Selepas jaringan berkenaan, separuh masa pertama menyaksikan China kendalian Fabrizio Del Rosso dari Itali lebih menguasai permainan tetapi tidak banyak percubaan tepat berbahaya berjaya dilakukan kedua-dua pasukan.

 Bersambung babak kedua, aksi bertukar lebih rancak selepas Kim Swee melakukan dua pertukaran serentak dengan penyerang, Jafri Firdaus Chew dan pemain tengah, Danial Amier Norhisham masuk menggantikan N Thanabalan dan Amirul Hisyam Awang Kechik.

 Ancaman Malaysia untuk memburu gol penyamaan bermula pada minit ke-51 dengan sepakan deras Safawi Rasid dari luar kotak penalti sedikit sipi disusuli lima minit kemudian apabila hantaran Syahmi Safari hampir berjaya disambar Jafri sebelum sempat dipintas penjaga gol China, Zhou Yu Chen.

 China yang jarang mengasak pada babak kedua hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-64, namun dinafikan kecekapan penjaga gol negara, Ifwat Akmal Chek Kassim yang menghalang percubaan satu lawan satu oleh Chen Zhe Chao.

 Malaysia berjaya 'menyamakan kedudukan' pada minit ke-67 menerusi penyudah Jafri, namun 'jaringan' berkenaan dibatalkan pengadil yang mendakwa Jafri sudah berkedudukan ofsaid biarpun ulang tayang video menunjukkan sebaliknya.

 Nasib nyata tidak memihak kepada Malaysia malam tadi apabila tandukan Jafri hasil hantaran Syazwan Andik Ishak pada minit ke-81 sekadar menggegar palang gol China.

 Ifwat Akmal kemudian sekali lagi menjadi penyelamat Malaysia apabila berjaya menghadang kemas percubaan satu lawan satu, kali ini oleh penyerang gantian China, Wang Jing Bin pada minit ke-84.

 Skuad Kim Swee akan terbang pula ke Guangzhou, hari ini untuk meneruskan baki dua perlawanan persahabatan menentang skuad simpanan Guangzhou R&F pada Selasa (13 Jun) dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada Khamis (15 Jun) sebelum pulang ke tanah air, sehari kemudian.

 

CHINA B-22: 23-Zhou Yu Chen; 6-Huang Zheng Yu (15-Liu Hao 60'), 5-Liu Jun Shuai, 19-Liu Yang, 4-Chen Ze Peng; 7-Tang Shi, 17-He Chao (C), 32-Zhang Xiu Wei, 27-Chen Zhe Chao (16-Gao Hai Sheng 90'); 9-Wei Shi Hao (22-Hu Jing Hang 67'), 8-Xiang Bai Xu (20-Wang Jing Bin 60').

MALAYSIA B-22: 19-Ifwat Akmal Chek Kassim; 5-Adib Zainudin (C), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin; 20-Syahmi Safari (3. Syazwan Zaipol Bahari 69'), 14-Syamer Kutty Abba, 7-Amirul Hisyam Awang Kechik (6-Danial Amier Norhisham 46'), 21-Syazwan Andik Ishak; 12-N Thanabalan (11-Jafri Firdaus Chew 46'), 10-S Kumaahran (13-Tommy Mawat Bada 88'), 16-Safawi Rasid (15-Sean Eugene Selvaraj 69').

Pengadil: Fu Ming (China)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Seperti saya jangkakan, ia menjadi satu perlawanan sukar buat kami dan kedua-dua pasukan bermain dengan cukup baik.

 Pemain kami 'tertidur' pada minit pertama perlawanan sehingga kami bolos dengan gol mudah.

 Tapi secara keseluruhan anak-anak buah saya bermain dengan cukup baik terutama separuh masa kedua. Namun agak malang, kami tidak dapat (mencari) gol penyamaan.

 Memang banyak aspek kami perlu tambah baik. Seperti saya katakan kami bolos gol dengan cara yang cuai.

 Apapun keseluruhan perlawanan, sistem cara kami bermain, anak-anak buah saya menunjukkan karakter tetapi kami masih belum cukup bagus untuk mendapatkan gol, di mana saya percaya jika ia berlaku, ia akan mengubah rentak permainan atau keputusan perlawanan ini.

 Saya fikir kami lebih menguasai permainan lebih baik daripada China pada separuh masa kedua tetapi seperti saya katakan, malangnya kami tidak boleh menjaringkan gol menerusi serangan kami.

 Namun akhirnya keputusan lebih penting dan apa yang kami perlu perbaiki adalah kelemahan kami dan fokus seawal minit pertama sehingga berakhir perlawanan."