Persahabatan futsal wanita: Malaysia 2 Vietnam 4

Skuad futsal wanita Malaysia kendalian jurulatih Chiew Chun Yong tewas 4-2 kepada Vietnam pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam, pagi tadi.
 
 Pada aksi persahabatan pertama bertemu lawan sama, Rabu lalu, skuad negara tewas 9-2.
 
 Pagi tadi, skuad negara ketinggalan 3-0 menerusi jaringan Do Thi Nguyen pada minit kedua, Nguyen Thi Thanh minit ke-13 dan Thai Thi Thao minit ke-15.
 
 Skuad negara merapatkan seketika kedudukan 3-1 menerusi Nur Izzati Khairudin pada minit ke-16, namun Vietnam menambah gol keempat hasil jaringan Vo Thi Thuy Trinh, dua minit kemudian untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 4-1.
 
 Jaringan cantik Farahiyah Ridzuan menerusi sepakan lambung jarak jauh pada minit ke-33 merapatkan kembali kedudukan 4-2 tetapi tiada tambahan jaringan selepas itu untuk ia kekal sehingga wisel penamat.
 
 Skuad negara dalam persiapan terakhir sebelum menghadapi edisi sulung Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2015 yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan bermula Isnin ini (21 September).
 
 Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A akan memulakan kempen bertemu Uzbekistan pada aksi pertama Isnin ini (4.30 ptg) diikuti Hong Kong pada Selasa (4.30 ptg) dan Iran pada Rabu (7 mlm).
 
 Dua pasukan teratas Kumpulan A dan Kumpulan B (terdiri daripada Thailand, China, Jepun dan Vietnam) akan layak ke separuh akhir pada Jumaat (25 September) manakala final dijadual pada Sabtu (26 September).
 
 
KOMEN JURULATIH FUTSAL WANITA MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG
 
"Pada perlawanan kedua pagi ini, kami sepatutnya mampu menyaingi permainan pasukan lawan tetapi banyak peluang terhidang gagal dimanfaatkan sepenuhnya terutama pada separuh masa pertama.
 
 "Tapi para pemain berjaya menunjukkan peningkatan dalam melepasi kawalan pemain lawan dan juga ketika mengawal pemain lawan.
 
 "Berbanding perlawanan pertama Rabu lalu, momentum permainan pada perlawanan kedua ini nampak lebih baik terutama dari segi persembahan dan persefahaman di kalangan pemain. Nampak kestabilan sebagai satu pasukan.
 
 "Sudah tentu kami akan menggunakan corak permainan sama untuk aksi pembukaan bertemu Uzbekistan, Isnin ini dan saya harap pemain sudah mula memberi sepenuh fokus untuk menghadapi kejohanan sebenar."
 
 
MALAYSIA: 1-Nurul Atiqa Zaifulizan (PG), 2-Masturah Majid, 3-Usliza Usman, 4-Farhana Abdullah, 5-Dadree Rofinus, 6-Rina Jordana Adnan, 7-Farahiyah Ridzuan, 8-Noor Asyikin Mohamad Noor, 9-Norhawa Md Yasin, 11-Nur Shazreen Munazli, 12-Siti Aznidah Zamri, 14-Nur Izzati Khairudin (K), 15-Siti Noor Halimi Hussain, 16-Asma Junaidi (PG).
 
Tidak beraksi: Sity Norazizah Jamal (PG), Fatin Shahida Azmi (penggantungan satu perlawanan)
 
J Category: 
article/futsal