PERSAHABATAN: GUANGZHOU R&F FC 2-2 MALAYSIA B-22

2017-06-14

Skuad B-22 kebangsaan, Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan simpanan kelab Liga Super China, Guangzhou R&F FC 2-2 pada perlawanan persahabatan kedua di China, petang semalam.

 Barisan tuan rumah bimbingan jurulatih dari Serbia, Dejan Govedarica terdiri daripada pemain-pemain bawah 22 tahun tetapi turut diperkuat empat pemain berusia 24 tahun dari skuad utama mereka iaitu penjaga gol Pei Chensong serta Zeng Chao, Zhang Chenlong dan Wang Jia'nan.

 Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou itu, kedua-dua pasukan terpaksa menghabiskan permainan dengan 10 pemain selepas Chao dan pemain gantian skuad B-22 kebangsaan, Sean Eugene Selvaraj yang baru lima minit dimasukkan telah dilayangkan kad merah pada minit ke-44.

 Ia berpunca daripada kekasaran Sean Eugene terhadap Chao yang mengakibatkan penyerang Guangzhou R&F itu bertindak balas sebelum kedua-dua mereka diarah keluar padang oleh pengadil.

 Terdahulu, babak awal permainan separuh masa pertama menyaksikan gawang Malaysia diuji, namun kecekapan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang menafikan percubaan Ma Junliang pada minit pertama dan Mai Jiajian, minit ketiga.

Gawang Malaysia bagaimanapun bolos juga pada minit ke-21 selepas Deng Zhiyao yang melakukan larian solo dari sebelah kanan tidak dikawal sebelum melepaskan rembatan dalam kotak penalti menewaskan Amierul Hakimi untuk gol pertama Guangzhou R&F.

 Pada minit ke-27, Amierul Hakimi bertindak cemerlang menafikan percubaan satu lawan satu Zhu Di.

 Namun Di berjaya juga menebus kehampaannya apabila menolak masuk gol kedua Guangzhou R&F pada minit ke-38.

 Ketinggalan dua gol, Kim Swee pantas melakukan rombakan dengan membawa masuk Syazwan Zaipol Bahari dan Sean Eugene untuk menggantikan K Kannan dan Ali Imran Alimi pada minit ke-39.

 Dua peluang terbaik Malaysia untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-40, namun sepakan lencong Syafiq Ahmad dari luar kotak penalti berjaya dibaca baik oleh Chensong disusuli tolakan Syazwan di depan pintu gol pada minit ke-45 yang sempat ditepis keluar penjaga gol Guangzhou R&F itu.

 Bersambung babak kedua, Kim Swee membawa masuk Safawi Rasid menggantikan Amirul Hisyam Awang Kechik dan ternyata percaturan itu berhasil apabila Safawi berjaya menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-47 dan ke-53 menerusi sepakan kemas kaki kirinya untuk mengikat kedudukan 2-2.

 Skuad B-22 kebangsaan seharusnya memperoleh gol ketiga pada minit ke-54, namun tandukan kemas N Thanabalan hasil hantaran lintang Safawi berjaya ditepis oleh Chensong.

 Pada minit ke-67, Safawi hampir berjaya melengkapkan hatrik tetapi tandukannya selepas sepakan percuma Irfan Zakaria sedikit tinggi melewati palang gol Guangzhou R&F.

 Babak akhir permainan menyaksikan kedua-dua pasukan berpeluang memperoleh gol kemenangan, namun percubaan luar kotak penalti Syamer Kutty Abba berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Guangzhou R&F, Ji Xiangzheng pada minit ke-82 manakala percubaan tepat pemain gantian tuan rumah, Huang Jingbin berjaya didakap kemas Amierul Hakimi pada minit ke-84.

 Skuad Kim Swee yang tewas 1-0 kepada skuad B-22 China pada aksi persahabatan pertama di Xiangtan, Sabtu lalu akan berdepan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada perlawanan persahabatan ketiga dan terakhir di China pada Khamis ini (15 Jun) sebelum pulang ke tanah air, hari berikutnya.

 

GUANGZHOU R&F FC: 16-Pei Chensong (C) (49-Ji Xiangzheng 75'); 50-Zhang Jianjun, 47-Fu Yunlong, 28-Wang Jia'nan, 17-Zhang Chenlong (39-Ma Weichao 46'); 46-Deng Zhiyao, 26-Ma Junliang (38-Wei Zongren 75'), 27-Ning An; 31-Zhu Di (52-Huang Jingbin 64'), 14-Zeng Chao, 41-Mai Jiajian (37-Li Yuyang 46').

MALAYSIA B-22: 1-Amierul Hakimi Awang (PG); 9-Adam Nor Azlin (14-Syamer Kutty Abba 69'), 17-Irfan Zakaria, 4-L Kalaiharasan (5-Adib Zainudin 42'); 2-Ali Imran Alimi (15-Sean Eugene Selvaraj 39'), 7-Amirul Hisyam Awang Kechik (C) (16-Safawi Rasid 46') (21-Syazwan Andik Ishak 78'), 6-Danial Amier Norhisham, 18-K Kannan (3-Syazwan Zaipol Bahari 39'); 12-N Thanabalan, 11-Jafri Firdaus Chew, 23-Syafiq Ahmad (13-Tommy Mawat Bada 69').

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Perlawanan yang bagi saya tidak begitu memuaskan dari segi prestasi. Tapi selepas membuat tujuh pertukaran daripada kesebelasan perlawanan dengan skuad B-22 China, banyak yang saya dapati beberapa pemain masih lagi belum sampai ke tahap yang memuaskan.

 Apa pun, yang penting mereka mempunyai sikap yang cukup positif di mana ketinggalan dua gol dan mampu bangkit.

 Itu satu petanda yang cukup baik tetapi secara keseluruhan, beberapa pemain masih lagi belum dapat membuktikan mereka boleh bermain di peringkat cukup tinggi dan saya harap perlawanan terakhir nanti, sesiapa yang diturunkan harus mempunyai persefahaman yang baik sebelum saya memutuskan mengugurkan beberapa pemain selepas kita kembali dari China nanti.

 Yang penting mereka harus mempunyai kepercayaan tentang diri sendiri di mana mereka mampu bermain dengan lebih baik. Jika mereka menghormati pihak lawan walaupun mereka dari Liga Super (China), ini akan menyebabkan kita melakukan banyak kesilapan dan juga sentiasa tidak mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

 Jadi, saya mengharapkan mereka supaya lebih agresif, lebih ke hadapan dan itu berjaya selepas memasukkan Safawi pada separuh masa kedua.

 Seperti saya jangkakan, walaupun skuad simpanan dan dibarisi beberapa pemain simpanan dari skuad utama Liga Super China, pasukan lawan cukup baik.

 Ini memberikan kita satu saingan dan ini juga merupakan tujuan kita ke China untuk saya menilai para pemain yang baru bersama pasukan B-22 di mana keputusan untuk mengekalkan mereka atau pun mengugurkan mereka akan diumumkan selepas kita kembali nanti."