PERSAHABATAN: MALAYSIA 2 PAPUA NEW GUINEA 1

2016-11-15

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee memperoleh suntikan moral sebelum ke Piala Suzuki AFF 2016 selepas berjaya menewaskan Papua New Guinea 2-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Shah Alam, petang semalam.

 Tatkala Papua New Guinea bimbingan Flemming Serritslev mengekalkan kesebelasan sama ketika membenam Malaysia 2-0 pada 17 Jun lalu kecuali penjaga golnya, di kem Malaysia hanya Amri Yahyah, Baddrol Bakhtiar dan Shahrom Abdul Kalam daripada kesebelasan aksi di Port Moresby itu yang berada dalam senarai permulaan kali ini.

 Pada aksi petang semalam yang sepak mulanya jam 3 petang, Malaysia ketinggalan seawal minit keenam selepas pemain pertahanan, Shahrul Saad gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kesempatan itu disudahkan Nigel Dabinyaba untuk menewaskan Khairulazhan Khalid.

 Malaysia bagaimanapun berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi penyudah kemas Ahmad Hazwan Bakri di depan pintu gol Papua New Guinea selepas menerima hantaran cantik daripada pemain tengah, Irfan Fazail untuk kedudukan separuh masa pertama terikat 1-1.

 Gol kemenangan Malaysia hadir pada awal babak kedua menerusi sepakan penalti Amri pada minit ke-47 selepas penyerang baharu skuad negara, Darren Lok ketika melakukan larian solo telah dijatuhkan pemain pertahanan Papua New Guinea, Alwin Komolong.

 Tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan selepas itu untuk menyaksikan Malaysia beroleh kemenangan sebagai penyuntik semangat sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada Rabu ini untuk saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bermula 20 November ini.

 

MALAYSIA: 1-Khairulazhan Khalid (22-Khairul Fahmi Che Mat 74'), 15-Rizal Ghazali, 5-Shahrom Abdul Kalam, 3-Shahrul Saad, 2-Matthew Davies, 8-Zaquan Adha Abd Radzak (23-Hadin Azman 70'), 11-Baddrol Bakhtiar, 7-Irfan Fazail (19-S Veenod 59'), 17-Amri Yahyah (C) (20-Safawi Rasid 59'), 12-Ahmad Hazwan Bakri (9-Norshahrul Idlan Talaha 70'), 21-Darren Lok (10-Safee Sali 59').

PAPUA NEW GUINEA: 20-Ronald Warisan, 2-Daniel Joe,  4-Alwin Komolong,  5-Felix Komolong (13-Roland Bala 55'), 19-Koriak Upaiga, 9-Nigel Dabinyaba, 14-Emmanuel Simon, 12-David Muta (C)(17-Jacob Sabua 24'), 18-Tommy Semmy (21-Stahl Gubag 90'), 8-Michael Foster, 7-Raymond Gunemba (22-Kolu Kepo 85').

Pengadil: Alongkron Feemuechang (Thailand)

 

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Masih belum sempurna lagi. Kami masih perlu memperbaiki beberapa perkara. Tapi apa yang penting, pemain telah menunjukkan karakter dan komitmen mereka sepanjang perlawanan ini.

 "Kami sentiasa membenarkan lawan membolosi gawang kita terlebih dahulu dan ini membuatkan pemain terpaksa bersusah payah untuk bangkit. Jadi kami perlu berhenti daripada membuat kesilapan terutama melepaskan gol-gol mudah.

 "Selepas mendahului pada awal babak kedua, sudah tentu kami mahu menambah gol. Tapi keadaan padang memberi kesukaran kepada pemain dan sudah tentu saya tidak mahu lagi kehilangan pemain akibat kecederaan dan kelesuan. Sebab itu saya lakukan banyak pertukaran.

 "Secara keseluruhan, satu persembahan yang lebih baik berjaya ditampilkan para pemain. Saya tak boleh katakan yang saya cukup gembira tetapi bagi saya, ini satu keputusan cukup baik sebelum kami berlepas ke Yangon untuk memberikan kami suntikan semangat sebelum aksi sulung berdepan Kemboja.

 "Mengenai barisan pemain pula, selepas ujian imbasan dilakukan terhadap Ahmad Khuzaimi Piee, terdapat koyakan pada hamstring dan sudah tentu dia terpaksa diketepikan daripada skuad ke Yangon bersama-sama Nasir Basharudin (yang turut cedera).

 "Ronny Harun pula mempunyai sedikit kecederaan di bahagian pangkal paha (groin) tetapi selepas ujian imbasan, tiada yang serius dan dia dalam keadaan baik. Jadi bukan tugas mudah untuk saya menentukan siapa seorang lagi pemain yang akan digugurkan sebelum mengumumkan senarai 23 pemain terakhir, esok (Selasa)."