PERSAHABATAN: MALAYSIA B-22 1-0 BRUNEI

Skuad Harimau Malaysia B-22 meraih kemenangan kedua ke atas Brunei selepas menewaskan pasukan pelawat 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Terdahulu, skuad kendalian Frank Bernhardt itu menumpaskan Brunei 2-0 di venue yang sama Khamis lalu hasil ledakan dua gol oleh Syafiq Ahmad.

Syafiq sekali lagi muncul wira pasukan setelah menjaringkan gol tunggal perlawanan. Penyerang berusia 21 tahun itu tenang menyudahkan hantaran Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri pada minit ke-10 perlawanan.

Babak kedua menyaksikan skuad kebangsaan meneruskan corak permainan agresif namun gagal menyempurnakan beberapa peluang di hadapan gol untuk keputusan muktamad 1-0.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Ini perlawanan yang bagus kerana lawan mempunyai saiz fizikal yang besar sama seperti pasukan yang bakal kita hadapi di Sukan SEA nanti.

“Kita mempunyai pasukan yang berpotensi besar tapi masalahnya saya masih tidak dapat menguji pasukan terbaik saya kerana kecederaan dan juga dipanggil bersama skuad senior kebangsaan.

“Memang saya berada di sini sudah lapan, sembilan bulan tapi pada hakikatnya, saya hanya bersama pasuakan selama lapan, sembilan minggu saja. Tempoh paling lama saya melatih pasukan ialah ketika bulan Ramadhan yang lalu.

“Kalau di Jerman, walaupun mereka mengikut kalender FIFA bagi tempoh latihan, mereka sudah bagus. Kita bukan Jerman dan kita perlukan lebih masa bersama pemain.”