PERSAHABATAN: MALAYSIA B-22 2-0 MYANMAR B-22

2017-07-14

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Myanmar B-22 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 Gol pada setiap babak menerusi N Thanabalan dan Danial Ashraf Abdullah sudah memadai untuk memberikan kemenangan moral buat skuad Projek Sukan SEA 2017 itu sebelum terbang ke Bangkok, Thailand pada Isnin ini bagi menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 bermula 19 hingga 23 Julai ini.

 Thanabalan yang beraksi bersama pasukan Piala FAM, Felcra FC membuka tirai jaringan buat Malaysia menerusi tandukan kemas selepas sepakan sudut Syazwan Andik Ishak pada minit ke-26.

 Permainan bagaimanapun terhenti selama lima minit pada minit ke-36 berikutan hujan semakin lebat dan angin kencang yang menerbangkan beberapa keping serpihan bumbung stadium jatuh ke arah padang dan tempat penonton.

 Selepas permainan disambung semula, Malaysia terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-44 apabila Jafri Firdaus Chew yang hanya berdepan penjaga gol Myanmar, Phone Thitsar Min menyaksikan percubaannya sedikit sipi ke kiri gawang pelawat.

 Bersambung babak kedua, Malaysia dihidangkan deretan peluang di depan gol tetapi gagal menemui sasaran.

 Sepakan deras Syafiq Ahmad dari luar kotak penalti menerusi satu serangan balas pada minit ke-51 sedikit sipi disusuli lima minit kemudian apabila rembatan Jafri berjaya ditampan penjaga gol Myanmar sebelum tindakan susulan Thanabalan tersasar tinggi.

 Myanmar yang sesekali mengasak turut beroleh peluang terbaik pada minit ke-71, namun percubaan Hlaing Bo Bo dari luar kotak penalti selepas sepakan sudut berjaya ditepis keluar penjaga gol gantian negara, Amierul Hakimi Awang.

 Pada minit ke-73, giliran Danial Ashraf menyaksikan percubaan depan gol dimilikinya selepas menyambut hantaran Jafri dari sebelah kiri sedikit sipi dari gawang gol Myanmar.

 Namun Danial Ashraf berjaya juga meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menyudahkan peluang terbuka di depan pintu gol pada minit ke-87 selepas tandukan awal Thanabalan dikeluarkan pertahanan Myanmar, Tluanghup Thang.

 Peluang terakhir Myanmar kendalian Gerd Zeise untuk membolosi gawang negara diperoleh pada minit ke-89, namun Amierul Hakimi terus cemerlang apabila melayangkan badannya untuk menepis keluar bola tandukan cantik Aung Thu.

 

MALAYSIA B-22: 19-Ifwat Akmal Chek Kassim (22-Amierul Hakimi Awang 61'); 5-Adib Zainudin (K) (3-Syazwan Zaipol Bahari 86'), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin (2-Raphi Azizan Mariappen 61'); 23-Ariff Farhan Md Isa (14-Nur Shamie Iszuan Amin 61'), 7-Amirul Hisyam Awang Kechik (8-Danial Ashraf Abdullah 61'), 16-Danial Amier Norhisham (18-Fauzan Fauzi 76'), 21-Syazwan Andik Ishak; 12-N Thanabalan, 11-Jafri Firdaus Chew (10-Akhyar Rashid 76'), 20-Syafiq Ahmad (15-Sean Eugene Selvaraj 61').

MYANMAR B-22: 1-Phone Thitsar Min; 2-Nan Wai Min, 13-Tluanghup Thang, 4-Thiha Htet Aung, 5-Nanda Kyaw (17-Hein Thiha Zaw 46'); 14-Yan Naing Oo (22-Maung Maung Soe 80'), 16-Sithu Aung (K), 6-Ye Yint Tun (7-Hlaing Bo Bo 46'), 8-Yan Pai Soe (11-Maung Maung Lwin 59'); 20-Shwe Ko (9-Aung Thu 59'), 19-Aung Kaung Mann (10-Than Paing 59').

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Satu keputusan yang baik apabila kita menang tetapi sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan persembahan jika ditolak tepi persembahan pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan tidak dapat rentak kerana hujan lebat.

 "Tapi kemenangan ini penting bagi kita sebelum berlepas ke Bangkok, Isnin ini. Apa pun, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kerana kita masih belum sempurna.

 "Walaupun kita mungkin boleh menang dengan jaringan lebih besar, saya tak mahu melihat dari segi jumlah jaringan. Kita perlu tahu yang dua lawan kita di kelayakan nanti, Indonesia dan Thailand berbeza dengan Myanmar.

 "Yang penting, saya mahu lihat para pemain mengekalkan corak permainan kita yang terdahulu tetapi kita agak terlalu gementar apabila lama tidak bermain bersama di mana kita tidak dapat mengeluarkan bola dari kawasan kita dengan lebih teratur seperti yang biasa kita lakukan.

 "Sudah tentu ini kerana kita ada hanya sehari untuk berlatih dan para pemain juga keletihan selepas beraksi empat perlawanan dalam masa terdekat dengan kelab masing-masing.

 "Mengenai persembahan pemain baharu, Akhyar Rashid saya percaya dia mampu memberi impak kepada pasukan ini dan juga Fauzan Fauzi yang sepatutnya beraksi di sebelah kanan, saya masukkannya menggantikan Danial Amier di posisi tengah kerana kita ketiadaan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih.

 "Saya juga tidak mahu sentuh lagi mengenai status beberapa pemain yang masih belum melapor diri. Pintu masih lagi terbuka, terpulang kepada mereka. Jika mereka ingin datang, masih ada masa sebelum saya memutuskan senarai 23 pemain ke Bangkok, Isnin ini."