Persahabatan: Malaysia XI 1-1 Liverpool FC

Skuad Pilihan Malaysia (Malaysia XI) mencatat keputusan seri 1-1 dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
 
 Malaysia XI kendalian jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh yang turut menampilkan lima pemain import Liga Malaysia berjaya mendahului menerusi penyudah kemas penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-13.
 
 Liverpool FC yang dikemudi pengurus, Brendan Rodgers bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri pemain sayap, Jordon Ibe yang menerjah jaring penjuru gawang Malaysia XI pada minit ke-28.
 
 Hampir 50,000 penonton yang hadir kemudian terus disajikan beberapa lagi percubaan menarik daripada kedua-dua pasukan sepanjang babak kedua, namun tiada tambahan gol berjaya dihasilkan untuk kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.
 
 Ini merupakan perlawanan terakhir dalam siri Jelajah Asia 2015 bagi Liverpool FC selepas mereka berjaya mencatat tiga kemenangan berturut menewaskan Pilihan Thailand 4-0, Brisbane Roar 2-1 dan Adelaide United 2-0.
 
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA XI, DOLLAH SALLEH
 
"Pertama sekali, saya ingin ucap tahniah kepada semua pemain. Mereka telah beraksi cukup baik. Saya tak jangka kami mampu bermain baik sehingga 90 minit permainan kerana kami hanya sempat berlatih selama empat hari.
 
 "Apa pun ini satu keputusan yang baik dan pada masa sama saya gembira dengan prestasi pemain tempatan terutama pemain muda seperti S Kumaahran. Walaupun beraksi lima minit terakhir, dia turut bermain dengan cukup baik.
 
 "Saya nampak pemain-pemain tempatan kita dapat mengikut apa yang lima pemain import kita lakukan di atas padang terutama Thiago Junio yang mengemudi barisan pertahanan dengan cukup baik.
 
 "Biarpun saya berdepan masalah beberapa pemain dalam senarai awal tidak dilepaskan pengurusan pasukan negeri/kelab, sekurang-kurangnya pemain yang saya ada ini berjaya menunjukkan sesuatu pada perlawanan ini.
 
 "Jadi saya harap, pihak pengurusan pasukan perlu faham yang perlawanan seperti ini cukup memberi makna besar buat seseorang pemain dan ini peluang buat mereka berdepan pasukan kelab luar dengan pemain bertaraf bintang."
 
 
MALAYSIA XI: 1-Khairul Azhan Khalid; 13-Razman Roslan (K) (6-Yong Kuong Yong 83'), 3-Thiago Junio Aquino, 5-Vincent Bikana, 16-Zubir Azmi (21-Nazirul Naim Che Hashim 78'); 19-Azammuddin Akil (9-Norshahrul Idlan Talaha 44'), 20-Nasir Basharudin (7-Baddrol Bakhtiar 73'), 8-Zah Rahan Krangar (2-Afif Amiruddin 78'), 18-Joseph Kalang Tie (11-Ahmad Syamim Yahya 81'); 10-Charles Souza Chad (12-S Kumaahran 85'), 4-Patrick Ronaldinho Wleh (14-Christie Jayaseelan 69').
 
LIVERPOOL FC: 34-Adam Bogdan; 2-Nathaniel Clyne (58-Dan Cleary 80'), 6-Dejan Lovren, 37-Martin Skrtel, 18-Alberto Moreno (57-Joe Maguire 80'); 33-Jordon Ibe, 14-Jordan Henderson (K), 21-Lucas Leiva (46-Jordan Rossiter 72'), 7-James Milner (68-Pedro Chirivella 90'); 20-Adam Lallana, 27-Divock Origi (54-Sheyi Ojo 72').
 
Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed
 
J Category: 
uncategorised7