PERSAHABATAN: SINGAPURA 0 MALAYSIA 0

2016-10-08

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mencatat keputusan seri 0-0 dengan Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" yang digelar 'Causeway Challenge 2016' di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

 Pada babak pertama, Singapura hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-14, namun percubaan bahaya Izzdin Shafiq berjaya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid.

 Selepas diasak hebat pasukan tuan rumah kendalian V Sundram Moorthy sepanjang 30 minit awal permainan, skuad Harimau Malaysia akhirnya beroleh peluang terbaik tetapi sepakan lencong ketua pasukan, Amri Yahyah pada minit ke-33 berjaya ditepis dengan baik penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.

 Gawang Malaysia kemudian sekali lagi nyaris dibolosi pada minit ke-42, namun dua percubaan berturut daripada Khairul Amri dan Hariss Harun sekadar menggegar palang.

 Menuju masa kecederaan separuh masa pertama, sepakan deras Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti berjaya ditepis oleh Hassan untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan tanpa jaringan.

 Sebaik babak kedua bersambung, jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengeluarkan Khairul Helmi Johari yang mengalami kecederaan dan membawa masuk Shahrom Abdul Kalam untuk bergandingan dengan Shahrul Saad di posisi pertahanan tengah.

 Shahrom berjaya menghadang kemas percubaan Baihakki Khaizan pada minit ke-69 dan dua minit berselang, palang gol skuad Harimau Malaysia sekali lagi bergegar menerusi tandukan Daniel Bennett selepas sepakan sudut Khairul Amri.

 Malaysia turut berpeluang selepas itu, namun percubaan pemain gantian, Zaquan Adha Abd Radzak selepas sepakan sudut pendek oleh Irfan Fazail berjaya ditepis keluar Hassan pada minit ke-76.

 Peluang terbaik Singapura kemudian diperoleh pada minit ke-83 menerusi sepakan akrobatik pemain gantian, Sahil Suhaimi yang mujur tepat ke arah Khairulazhan untuk akhirnya kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri.

 Malaysia selepas ini akan bertemu Afghanistan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya di Stadium Shah Alam pada Selasa ini (11 Oktober).

 

SINGAPURA: 18-Hassan Sunny, 9-Faritz Hameed, 5-Baihakki Khaizan, 16-Daniel Bennett, 13-Juma’at Jantan, 7-Gabriel Quak (17-Shahril Ishak 58’), 14-Hariss Harun (C), 20-Izzdin Shafiq, 10-Faris Ramli (8-Hafiz Sujad 83’), 21-Safuwan Baharudin, 19-Khairul Amri (11-Sahil Suhaimi 75’).

MALAYSIA: 1-Khairulazhan Khalid, 2-Rizal Ghazali, 25-Khairul Helmi Johari (5-Shahrom Abdul Kalam 46’), 3-Shahrul Saad, 21-Nazirul Naim Che Hashim, 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (8-Zaquan Adha Abd Radzak 71’), 11-Baddrol Bakhtiar, 7-Irfan Fazail (13-Abdul Latiff Suhaimi 87’), 10-Safawi Rasid (23-Hadin Azman 59’), 17-Amri Yahyah (C) (24-Darren Lok 61’), 18-Ahmad Hazwan Bakri (9-Norshahrul Idlan Talaha 70’).

Pengadil: Nguyen Duc (Vietnam)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Ia satu perlawanan yang sukar dan saya percaya para pemain saya sudah melakukan yang terbaik terutama dari segi bertahan dan bermain sebagai satu unit. Jadi kami sudah melakukan apa yang patut kami lakukan.

 "Bukan mudah, seperti yang saya katakan, Singapura bermain dengan kesebelasan terbaik mereka dan ia bagus buat pemain-pemain saya di mana kami tidak dibolosi pada perlawanan ini.

 "Sudah tentu, bagi kami ini satu pasukan yang baharu dan jika anda lihat, barisan empat pemain pertahanan yang bermula dalam kesebelasan hari ini tidak pernah bermain sebagai satu pasukan sebelum dan ini barisan pertahanan baharu yang saya ada. Jadi untuk mereka tidak dibolosi hari ini, satu keputusan yang baik bagi kami.

 "Di posisi tengah, kami tahu yang kami memerlukan pemain tengah yang boleh mengekang pergerakan lawan. Jadi saya percaya yang Irfan Fazail, Amri Yahyah dan juga Baddrol Bakhtiar mampu untuk melakukannya.

 "Saya boleh meletakkan pemain-pemain yang lain tetapi sudah tentu saya perlu memikirkan bagaimana untuk kita menggerakkan bola ke hadapan. Tapi pada separuh masa kedua kami berjaya beraksi dengan baik.

 "Untuk perlawanan ini, tiada pemain secara spesifik tetapi boleh saya katakan yang kesemua 17 pemain yang diturunkan hari ini adalah pemain terbaik kami.

 "Sudah tentu jika kamu lihat, sama ada saya gembira atau tidak dengan persembahan hari ini, yang penting adalah untuk mendapatkan keputusan baik. Ya, kami mahu bermain dengan cantik tetapi pada akhirnya, jika kami tidak menang, ia tetap akan menjadi sesuatu yang buruk.

 "Jadi apabila kamu tidak beraksi begitu baik tetapi kamu melakukan apa yang kamu perlu lakukan dan mendapatkan keputusan baik, ia akan menjadi sesuatu yang baik.

 "Anda juga perlu melihat kualiti yang kami ada ketika ini. Jika saya dapat menurunkan barisan pemain ketika kita menewaskan Timor-Leste pada Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019, saya rasa kami mampu beraksi lebih baik daripada apa yang dipamerkan pada hari ini.

 "Tapi pada masa yang sama, pemain-pemain yang diberi peluang beraksi kali ini, mereka telah membuktikan bahawa mereka mahu merebut tempat dan terus berada dalam pasukan ini. Jadi ini aspek berbeza yang perlu saya lihat.

 "Tidak perlu lagi kita memikirkan tentang pemain-pemain yang sudah bersara. Saya perlu membina pasukan dengan pemain-pemain yang ada ketika ini serta lima pemain yang tidak dibawa ke Singapura yang akan kembali menyertai latihan pada Sabtu. Buat masa ini, saya fokus kepada 30 pemain yang ada ini."