PERSAHABATAN WANITA: NEPAL 1-0 MALAYSIA

2016-12-18

Skuad wanita kebangsaan kendalian Asyraaf Abdullah tumpas 1-0 kepada finalis tiga tahun berturut-turut Kejuaraan Asia Selatan, Nepal pada aksi persahabatan antarabangsa di Kompleks ANFA, Kathmandu semalam.

Gol tunggal penyerang, Sabitra Bhandari pada minit ke-27 permainan sudah mencukupi buat pasukan di bawah bimbingan Kumar Thapa itu untuk mencatat kemenangan tipis ke atas pasukan negara.

Malaysia dijadual tiba di tanah air pada lewat petang hari ini. 

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA MALAYSIA, ASYRAAF ABDULLAH

“Hakikatnya, pasukan Nepal memang sudah bersedia untuk menghadapi Kejuaraan Asia Selatan yang dijadualkan berlangsung pada 26 Disember ini di India. Mereka memang sesuai dengan status finalis selama tiga tahun berturut bagi kejuaraan tersebut.

“Cuaca (17 darjah Celsius) nampak mempengaruhi corak permainan kita pada perlawanan ini. Pemain-pemain nampak keletihan kerana bermain dalam keadaan kering tekak. Saya berpuas hati dengan barisan pertahanan kita yang semakin matang dalam mengekang pihak lawan manakala eksperimen menurunkan penjaga gol muda berusia 16 tahun, Nurul Azurin Mazlan membuahkan hasil.

“Pertahanan muda berusia 17 tahun, Nur Athirah Farhana Zairi juga bermain dengan baik. Ini satu perkembangan positif buat pasukan kita. Namun, kita juga banyak kehilangan bola dan hantaran tidak tepat di bahagian tengah. Inilah aspek yang perlu diperbaiki termasuk bahagian serangan di mana pemain baharu kita,  Fedalliah Claritta Jaimin yang membuat penampilan pertama tidak dapat menyesuaikan diri dan Nurhaniza Saarani tidak bermain dengan baik.

“Kita memperolehi beberapa peluang namun penyudah agak lemah. Walaubagaimanapun, beberapa pemain muda kita menampilkan persembahan yang baik. Secara keseluruhannya, masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat dan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Perlawanan antarabangsa begini sangat diperlukan oleh pasukan kita. Perlawanan ini juga menunjukkan perkembangan positif kerana pasukan Malaysia tidak tewas dengan jurang yang besar.”