Persediaan Kelantan

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, lawan pasukannya  di separuh akhir Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah yang lebih kental berbanding pencabar mereka di suku akhir, Johor Darul Takzim (Johor DT).

Menurut, Hodak, kemampuan ATM menewaskan juara Liga Super, LionsXII  4-1 pada suku akhir kedua, Jumaat lalu membuktikan mereka memiliki barisan pemain yang amat berbahaya. ATM mara ke separuh akhir dengan agregat 4-2.

“Marlon Alex James kini berada pada tahap terbaiknya dan perlu diawasi apabila kedua-dua pasukan berentap pada separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 19 Oktober ini.

"ATM adalah lawan yang lebih bagus kerana mereka memiliki semangat juang yang sangat tinggi. Selepas kalah 0-1 kepada LionsXII di Singapura, mereka cuba bangkit dan berjaya mencatat kemenangan besar di tempat sendiri.,” kata Hodak.

Jurulatih dari Croatia itu membawa Kelantan ke separuh akhir menerusi agregat 8-5 selepas berpesta gol ke atas Harimau Selatan di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV.

Hodak berkata, semangat juang tinggi pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan 4-2 pada separuh akhir pertama di Johor Bahru mendorong mereka untuk beraksi cemerlang.

"Saya gembira dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh barisan pemain kami. Walaupun ketinggalan dengan dua jaringan selepas tumbang 2-4 dalam aksi pertama, namun mereka tidak mudah berputus asa dan berjaya menyerap tekanan.

"Kemenangan besar ini turut mencerahkan peluang Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia," kata Hodak.

Mengulas mengenai pertemuan dengan ATM, Hodak berkata, beliau mahu menggunakan tempoh rehat dua minggu untuk merangka strategi terbaik bagi berdepan ATM.

Beliau juga berharap Shakir Shaari dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim pulih dari kecederaan menjelang perlawanan tersebut.

 

J Category: 
uncategorised6