Piala AIA 2015: Pilihan Malaysia 1 Tottenham 2

Skuad Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh berjaya mempamerkan persembahan baik sebelum tewas tipis 2-1 kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur pada perlawanan Piala AIA 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
 Tottenham yang dibimbing Mauricio Pochettino mendahului menerusi jaringan Harry Kane pada minit ke-19 sebelum pemain pertahanan import Perak, Thiago Junio Aquino menanduk masuk sepakan percuma kapten, Indra Putra Mahayuddin untuk gol penyamaan Pilihan Malaysia, minit ke-32.
 
 Namun gol kedua Tottenham juga menerusi Kane pada minit ke-43 kekal menjadi gol kemenangan pasukan lawan itu apabila tiada tambahan gol berjaya dilakukan kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua.
 
KOMEN JURULATIH PILIHAN MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Gandingan pemain tempatan dan lima import cukup baik terutama pada separuh masa pertama. Saya rasa kami hampir memberi saingan yang hebat tetapi disebabkan tahap keyakinan diri berdepan pemain di peringkat tinggi, itu yang kami kurang.
 
 "Sudah tentu pengalaman ini memberi banyak manfaat kepada pemain kebangsaan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019. Sekurang-kurangnya mereka tahu, bila berdepan kelab besar dan nama-nama besar, tahap permainannya jauh berbeza dengan Liga Malaysia.
 
 "Saya puji persembahan pemain tengah dari Perak, Nasir Basharuddin untuk perlawanan ini. Saya tak jangka dia mampu beraksi baik pada perlawanan peringkat tinggi seperti ini. Saya jangka dia akan mengalami kesukaran tetapi dia beraksi cukup baik."
 
KOMEN PENGURUS TOTTENHAM, MAURICIO POCHETTINO
 
"Pertama kali, terima kasih kepada semua penyokong yang hadir. Satu suasana perlawanan yang cukup menarik.
 
 "Bagi saya, ia satu perlawanan yang sukar kerana sentiasa sepanjang permainan, lawan memberi kesukaran kepada kami. Tapi akhirnya kami berjaya menjaringkan dua gol dan memenangi perlawanan. Jadi tiada apa sangat saya nak cakap mengenai permainan kami.
 
 "Mengenai pasukan Pilihan Malaysia, mereka lawan yang sukar. Tetapi sentiasa bagi pasukan yang bertemu kami dalam perlawanan seperti ini, mereka mahu menunjukkan sesuatu apabila berdepan kami, kelab dari Liga Perdana Inggeris. Apa pun, pasti ia satu pengalaman baik buat mereka."
 
J Category: 
uncategorised7