PIALA BELIA 2017: KELANTAN, SSTMI B-16 BERMULA GARANG

2017-02-26

Saingan liga bawah 19 tahun kebangsaan, Piala Belia 2017 membuka tirai saingannya, petang tadi dengan menyaksikan Kelantan dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-16 masing-masing muncul pendahulu Kumpulan A dan B.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan yang mara ke separuh akhir musim lalu bermula garang apabila skuad kendalian Sazami Shafi'i  itu mudah menewaskan Pahang 3-0 di Padang Majlis Daerah Pekan.

 Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian P Somasundram mengekori di tangga kedua selepas berjaya mengatasi SSTMI B-17 bimbingan M Kaviarasu dengan jaringan 5-3 pada aksi yang berlangsung di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

 Kedah yang turut mara ke separuh akhir musim lalu dan kini di bawah kendalian Mohamad Ramlee di tangga ketiga selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan.

 Baki dua aksi Kumpulan A berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan menyaksikan PKNS FC diikat Johor Darul Ta'zim IV di Padang PKNS, Kelana Jaya manakala Sarawak diikat Terengganu di Stadium Negeri, Kuching.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, SSTMI B-16 kendalian Dato' Richard Scully mudah membelasah Melaka 4-0 di Stadium Juara SSTMI, Bandar Penawar.

 Negeri Sembilan bimbingan Syafiq Jonny Abdullah mengekori di tangga kedua selepas berjaya mengejutkan naib juara musim lalu, Selangor 3-1 di Padang SUK, Shah Alam.

 Sabah kendalian Jelius Ating yang muncul juara Kumpulan A musim lalu tetapi kandas di suku akhir turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Felda United di Stadium Mini USIM, Nilai untuk berada di tangga ketiga.

 Perak pula di tangga keempat selepas skuad bimbingan Shahril Nizam Khalil itu berjaya menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

 Satu lagi pasukan dalam Kumpulan B iaitu Kuala Lumpur kendalian Suhaimi Ismail tidak beraksi pada minggu pertama ini.

 Perlawanan minggu kedua bakal berlangsung pada Ahad, 5 Mac 2017.

 

KEPUTUSAN PENUH PETANG TADI:

 

KUMPULAN A

 

PULAU PINANG 0

KEDAH 1

Akmal Azmi 60'

 

PAHANG 0

KELANTAN 3

Mohammad Ramani Nabil Roslan 47'

Muhamad Hafiezal Che Normizi 86'

Mohamad Azzrie Aripin 90+1'

 

PKNS FC 0

JDT IV 0

 

SARAWAK 0

TERENGGANU 0

 

SSMP (B-17) 5

Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 40' 45+2' 62' 81'

Noramirul Awang 50'

SSTMI (B-17) 3

Ahmad Nur Rahman Ab Rasid 38'

Muhamad Asyraf Hanif Zaimi 45'

Muhammad Syahmi Zamri 55'

 

KUMPULAN B

 

FELDA UNITED 1

Muhammad Aqmar Alias 17'

SABAH 3

Evan Wensley Wenceslaus 30'

Mohd Iqhbal Kassim 39'

Mohd Suzairee Samail 59'

 

SELANGOR 1

Najib Abdullah 20'

NEGERI SEMBILAN 3

Mohamad Haziq Fikri Haszaime 23' 78' 88'

 

PERLIS 0

PERAK 2

Amirul Hakim Mat Safian 24'

Muhammad Adib Abdul Ra'op 78'

 

SSTMI (B-16) 4

Muhammad Hazim Abu Zaid 15' 82'

Mohamad Khussaini Adli Mohd Yusof 77'

Adam Farhan Mohd Azmi 90+4'

MELAKA 0