PIALA BELIA 2017: SSMP B-17, SSTMI B-16 RAMPAS TANGGA TERATAS

2017-03-09

Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-16 berjaya mengekalkan rekod kemenangan bersih pada perlawanan ketiga Piala Belia 2017, petang semalam untuk merampas tangga teratas Kumpulan A dan B daripada Kedah dan Negeri Sembilan.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah kendalian Mohamad Ramlee turun ke tangga kedua selepas sekadar seri 0-0 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV di Stadium Mini UTM, Skudai. Keputusan seri itu turut menyaksikan JDT IV turun dua tangga ke kedudukan kelima.

 SSMP B-17 yang dibimbing P Somasundram mengambil alih tangga teratas kumpulan selepas mudah membelasah PKNS FC 4-0 di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang untuk mengumpul sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan berturut.

 Sarawak pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga selepas skuad kendalian Safri Amit itu meraih kemenangan kedua berturut menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Kelantan turut melonjak satu anak tangga ke kedudukan keempat selepas bangkit daripada kekalahan minggu lalu apabila berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 SSTMI B-17 bimbingan M Kaviarasu akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung selepas mengatasi Terengganu kendalian Subri Sulong 3-2 di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak untuk naik tiga anak tangga ke kedudukan keenam.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, pendahulu sebelum ini, Negeri Sembilan kendalian Syafiq Jonny Abdullah gagal meneruskan rentak kemenangan pada dua aksi terdahulu apabila tewas 2-1 kepada SSTMI B-16 untuk turun ke tangga kedua.

 Kemenangan ketiga berturut SSTMI B-16 itu menyaksikan skuad bimbingan Dato' Richard Scully kini selesa di tangga teratas dengan sembilan mata maksimum.

 Sabah kendalian Jelius Ating kekal di tangga ketiga biarpun sekadar seri 2-2 dengan Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

 Naib juara musim lalu, Selangor yang dibimbing V Yogeswaran naik dua anak tangga ke kedudukan keempat selepas seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Mini MP Sepang, Salak Tinggi pada aksi yang tertangguh hampir 30 minit pada minit ke-58 kerana hujan lebat dan petir.

 Satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur bertemu Perak terpaksa ditangguh pada minit ke-30 kerana hujan lebat dan petir untuk aksi tersebut akan disambung ke tarikh lain yang akan ditetapkan.

 Melaka pula tidak beraksi minggu ini selepas skuad kendalian Md Noor Derus itu tewas kedua-dua perlawanan sebelum ini.

 Saingan Piala Belia 2017 berehat selama tiga minggu lebih dan hari perlawanan keempat akan berlangsung pada Ahad, 2 April.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM:

 

KUMPULAN A

 

JDT IV 0

KEDAH 0

 

KELANTAN 1

Mohamad Azzrie Aripin 70'

PULAU PINANG 0

 

SARAWAK 2

Zharif Yazin Nasruddin 72' 88'

PAHANG 1

Mohd Faisal Abd Halim 5'

 

SSMP (B-17) 4

Muhammad Izreen Izwandy 12'

Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 25'

Arif Shaqirin Suhaimi 59'

Muhammad Nizarruddin Jazi 90+4'

PKNS FC 0

 

TERENGGANU 2

Muhammad Badrul Amin Hamid 9'

Wan Ikram Amir Wan Mohd Zamri 61'

SSTMI (B-17) 3

Muhamad Asyraf Hanif Zaimi 33'

Muhammad Ramadhan Saifullah Usman 45+2' 56'

 

KUMPULAN B

 

PERLIS 2

Muhammad Haziq Mohd Subri 50'

Muhammad Azam Adzim Ahmad Kamal 90+1'

SABAH 2

Jeniun Karib 60'

Mohd Aidil Safee 72'

 

SSTMI (B-16) 2

Muhammad Aidil Azuan 5'

Muhammad Hazim Abu Zaid 46'

NEGERI SEMBILAN 1

Mohamad Haziq Fikri Haszaime 41'

 

SELANGOR 1

Muhammad Hafizi Mohd Salleh 70'

FELDA UNITED 1

Che Khairul Syafiq Che Juhan 60'

 

K.LUMPUR lwn PERAK

(Ditangguh selepas minit 30 kerana hujan lebat & petir)