PIALA BELIA 2017: SSMP, SSTMI & TERENGGANU RAIH KEMENANGAN AKSI SUKU AKHIR PERTAMA

2017-09-21

Juara Kumpulan A, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 membawa kelebihan selesa menjelang perlawanan kedua di tempat sendiri selepas berjaya menewaskan naib juara musim lalu, Selangor 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Belia 2017, petang semalam.

 Pada aksi di Stadium Mini MP Sepang, Salak Tinggi itu, SSMP B-17 kendalian P Somansundram yang kandas pada suku akhir musim lalu beroleh dua jaringan awal menerusi Noramirul Awang pada minit keempat dan Muhammad Alif Safwan Sallahuddin, minit kelapan untuk tugas sukar buat anak buah V Yogeswaran pada aksi kedua di Gambang nanti.

 Sementara dua lagi pasukan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 dan Terengganu berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

 Di Padang B, SSTMI, Bandar Penawar, SSTMI B-17 bimbingan M Kaviarasu yang menduduki tangga ketiga Kumpulan A bangkit daripada ketinggalan hasil ledakan hatrik Muhammad Syahmi Zamri pada babak kedua untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas naib juara Kumpulan B, Kuala Lumpur kendalian Suhaimi Ismail.

 Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pasukan tangga keempat Kumpulan A, Terengganu di bawah jurulatih Subri Sulong mencipta kejutan dengan menewaskan juara Kumpulan B, Felda United kendalian Azhar Abdul Rahman 3-1.

 Satu lagi aksi suku akhir pertama di Stadium Mini UPSI, Tanjung Malim pula menyaksikan Perak kendalian Shahrul Nizam Khalil beroleh gol pada masa kecederaan menerusi kapten, Mohammad Shafaiq Abdul Malek untuk mengikat pasukan bimbingan Mohamad Ramlee, Kedah 1-1.

 Kedah yang merupakan naib juara Kumpulan A telah kandas pada peringkat separuh akhir musim lalu sementara Perak yang gagal ke peringkat kalah mati musim lalu berjaya menduduki tangga ketiga Kumpulan B, musim ini.

 Perlawanan suku akhir kedua bakal berlangsung pada Isnin ini, 25 September 2017.

 

 

KEPUTUSAN SUKU AKHIR 1

RABU, 20 SEPTEMBER 2017

 

SELANGOR 0

SSMP (B-17) 2

Noramirul Awang 4' Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 8'

 

SSTMI (B-17) 3

Muhammad Syahmi Zamri 64' 73' 87'

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Faizal Hafiq Omar 31'

 

TERENGGANU 3

Abdul Halim Hamzah 19' Muhammad Haziq Fauzi 39' Amirul Syazwan Nor Azmi 81'

FELDA UNITED 1

Muhammad Fikri Abdul Rahim 75'

 

PERAK 1

Mohammad Shafaiq Abdul Malek 90'+3

KEDAH 1

Mohd Ashraf Sobri 25'

 

 

JADUAL SUKU AKHIR 2

ISNIN, 25 SEPTEMBER 2017

 

SSMP (B-17) lwn SELANGOR

Stadium Mini SSMP, Gambang, 4.15 ptg

 

KUALA LUMPUR lwn SSTMI (B-17)

Stadium Mini UPM, Serdang, 4.15 ptg

 

FELDA UNITED lwn TERENGGANU

Stadium Mini USIM, Nilai, 4.15 ptg

 

KEDAH lwn PERAK

Stadium Mini UUM, Sintok, 4.15 ptg