PIALA BELIA: GILIRAN SSBJ B-17, FELDA UNITED SAH KE SUKU AKHIR

2016-08-15

Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian muncul pasukan keempat berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 pada hari perlawanan ke-17 saingan Piala Belia 2016, petang semalam.

 Terdahulu, SSBJ B-17 kendalian Reduan Abdullah menjadi pasukan ketiga layak ke suku akhir selepas menang tipis 4-3 ke atas Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 di Gambang, Jumaat lalu (12 Ogos), sekali gus berjaya merampas tangga teratas Kumpulan B daripada SSMP B-16.

 SSMP B-16 bimbingan P Somasundram sebelum itu telah muncul pasukan pertama layak pada 7 Ogos lalu disusuli pendahulu Kumpulan A, Sabah kendalian Jelius Ating yang mengesahkan tempat ke suku akhir selepas aksi Rabu lalu (10 Ogos).

 Satu lagi slot terakhir ke suku akhir untuk Kumpulan B kini menjadi rebutan tiga pasukan yang menduduki tangga keempat, kelima dan keenam iaitu Kelantan dengan 26 mata, Terengganu dengan 25 mata dan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV dengan 23 mata.

 Kelantan dan JDT IV terikat 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu manakala Terengganu meraih tiga mata penuh menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Kompleks Sukan Gong Badak.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan A, hajat Selangor, Kedah dan Pulau Pinang untuk mengesahkan tiga baki slot ke suku akhir bagi mengiringi Sabah tidak kesampaian selepas masing-masing gagal meraih tiga mata penuh.

 Pada masa yang sama, pasukan tangga kelima, Perak pula berjaya menewaskan SSMP B-17 dengan jaringan 1-0 di Stadium TLDM, Lumut untuk terus menghidupkan sisa peluang ke suku akhir.

 Selangor tewas 3-1 kepada Sabah di Padang SUK, Shah Alam, Kedah sekadar seri 1-1 dengan Pahang di Padang Majlis Daerah Pekan manakala Pulau Pinang diikat 0-0 oleh Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Berbaki satu perlawanan, Sabah sudah sah bergelar juara Kumpulan A dengan 36 mata diikuti Kedah (31), Selangor (31), Pulau Pinang (28) dan Perak (28).

 Bagi Kumpulan B, dua perlawanan yang dipinda sebelum ini akan berlangsung pada Rabu ini iaitu Kelantan lwn SSBJ B-17 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan Felda United lwn ATM di Stadium Mini UPM, Serdang.

 Satu lagi perlawanan, JDT IV lwn SSMP B-16 akan berlangsung di Stadium Mini UTM, Skudai pada Khamis ini.

 Manakala perlawanan Kelantan lwn Felda United yang tertangguh pada minit ke-73 kerana hujan lebat dan petir pada 7 Ogos lalu ketika kedudukan masih 0-0 akan disambung baki 17 minit perlawanan itu pada Jumaat ini.

 Perlawanan ke-18 dan terakhir bagi saingan peringkat kumpulan akan berlangsung pada Ahad ini, 21 Ogos 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

PERAK 1

Muhamad Yuhazuwan Muktar 28'

SSMP (B-17) 0

 

PERLIS 1

Mohd Faizal Kadir 67'

SARAWAK 0

 

PAHANG 1

Muhammad Shah Amirul Mohd Zamri 7'

KEDAH 1

Muhammad Nazrul Najmi Mohd Noor 40'

 

N.SEMBILAN 0

P.PINANG 0

 

SELANGOR 1

SABAH 3

 

KUMPULAN B

 

FELDA UNITED 0

SSBJ (B-17) 0

 

ATM 1

Muhamad Nur Afiq Mahusin 76'

MELAKA 1

Muhammad Zulkarnain Mohd Nasir 6'

 

KELANTAN 1

Muhamad Rafie Mat Yaacob 25'

JDT IV 1

Ahmad Ikhwan Hafiz 16'

 

SSMP (B-16) 1

Nor Amirul Awang 54'

MISC-MIFA 1

Jacob Joseph Leprince 4'

 

TERENGGANU 1

Amirul Syazwan Nor Azmi 11'

K.LUMPUR 0

 

 

KEPUTUSAN AKSI YANG DIPINDA

JUMAAT, 12 OGOS 2016

 

SSMP (B-16) 3

Muhammad Najmi Idham Johan 16'

Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 46'

Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau 54'

SSBJ (B-17) 4

Mohamad Arieffahmie Mohd Azam 14' 90'

Nik Akif Syahiran Nik Mat 25'

Muhammad Zafuan Azeman 86'