PIALA BELIA: JUARA BERTAHAN SELANGOR WASPADA SSMP B-17

2016-02-28 

Juara bertahan, Selangor akan membuka kempen Kumpulan A saingan Piala Belia 2016 bertemu pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, jam 4.45 petang ini.

 Namun jurulatih skuad B-19 Selangor itu, Noor Zaidi Rohmat enggan memandang mudah cabaran SSMP B-17 meskipun barisan kendalian Khalid Shahdan itu adalah dari kalangan pemain-pemain berusia 17 tahun.

  "Bagi saya, semua perlawanan sulung pada setiap kejohanan adalah sukar. Kena pula kami terpaksa berdepan naib juara musim lalu, SSMP B-17.

 "Walaupun usia pemain-pemain mereka dua tahun lebih muda berbanding pemain kami, mereka adalah pemain-pemain terbaik dari sekolah sukan.

 "Lebih-lebih lagi mereka dikendalikan Khalid yang sepanjang saya kenali beliau penuh dengan taktikal misteri berdasarkan pengalaman pasukan kami bertemu mereka sebelum ini," kata Noor Zaidi kepada www.fam.org.my.

 Bagaimanapun, pengendali berusia 34 tahun itu tetap berharapkan tiga mata penuh mampu diraih Selangor bagi memastikan misi awal muncul empat pasukan teratas Kumpulan A untuk layak ke suku akhir dapat direalisasikan.

 "Gelaran juara bertahan itu sudah menjadi sejarah. Untuk tahun ini, kami perlu gandakan usaha lebih daripada tahun lalu. Bukan setakat untuk mempertahankan kejuaraan, malah kita mahu menjadi yang terbaik di kalangan pasukan B-19 bagi mengekalkan program pembangunan kami.

 "Pastinya beraksi di tempat sendiri, kami mahukan tiga mata penuh. Ini kerana, format tahun ini iaitu perlawanan liga secara timbal balik di tempat sendiri dan tempat lawan, jadi sasaran kami setiap kali aksi di tempat sendiri adalah untuk mengutip mata maksimum," jelas Noor Zaidi.

 Dengan 11 pemain musim lalu masih kekal bersama dalam senarai 30 pemain musim ini, Noor Zaidi turut mengharapkan kehadiran penyokong Selangor pada setiap kali aksi tempat sendiri baharu musim ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

 "Musim lalu kami sudah ada kelompok penyokong yang hadir setiap minggu aksi di Stadium Kuala Selangor. Tapi stadium berkenaan sedang dinaik taraf sehingga Jun depan.

 "Harap kami dapat mencari kelompok penyokong baharu di venue baharu ini. Kehadiran penyokong penting kerana pemain-pemain muda ini perlu didedahkan dengan aksi di hadapan penonton," ujarnya.

 Selain pertembungan di Kelana Jaya itu, empat lagi perlawanan Kumpulan A dan lima perlawanan Kumpulan B turut akan berlangsung hari ini.