PIALA BELIA: KEDAH, FELDA UNITED TERCICIR MATA

2016-05-16

Dua pasukan teratas Kumpulan A, Kedah dan Sabah sekali lagi tercicir mata apabila mencatat keputusan seri dengan lawan masing-masing pada perlawanan ke-13 saingan Piala Belia 2016, petang semalam, tatkala pendahulu Kumpulan B, Felda United turut mengalami nasib sama.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah kendalian Roshidi Shaari yang diikat 2-2 oleh Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 sebelum ini sekali lagi gagal meraih tiga mata penuh apabila seri 0-0 dengan Pulau Pinang di Stadium USM, Pulau Pinang.

 Namun Kedah lega selepas Sabah kendalian Jelius Ating yang tewas 1-0 kepada Perak sebelum ini turut sekali lagi tercicir mata selepas seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Penampang, Kota Kinabalu.

 Selepas 13 perlawanan, Kedah masih teratas dengan 30 mata diikuti rapat Sabah di tangga kedua dengan 28 mata.

 Juara bertahan, Selangor pula kekal di tangga ketiga selepas perlawanan menentang Perak di Padang SUK, Shah Alam terpaksa ditunda ke tarikh lain kerana keadaan padang akibat hujan lebat.

Skuad kendalian Noor Zaidi Rohmat itu kini mengumpul 24 mata di tangga ketiga tetapi kurang dua perlawanan berbanding Kedah dan Sabah.

 Dua lagi perlawanan menyaksikan Pahang berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SSMP B-17 di Padang Majlis Daerah Pekan manakala Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Sementara itu, bagi Kumpulan B, Felda United yang dibimbing Ahmad Shahrul Azhar Sofian masih kekal di tangga teratas dengan 28 mata selepas 12 perlawanan meskipun sekadar seri 0-0 dengan Terengganu di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak selepas turut seri 2-2 dengan Kuala Lumpur sebelum ini.

 Biarpun kurang dua perlawanan, pasukan SSMP B-16 kendalian P Somasundram masih menghuni tangga kedua dengan 22 mata selepas perlawanan menentang pasukan tangga tercorot, ATM telah dipinda ke 3 Ogos.

 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 di bawah sentuhan jurulatih baharu, Reduan Abdullah pula kekal di tangga ketiga dengan 21 mata selepas turut tidak beraksi apabila perlawanan menentang Kelantan telah dipinda ke 4 Ogos.

 Dua baki perlawanan yang berlangsung petang semalam menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV menewaskan MISC-MIFA 2-1 di Stadium Mini BSN, Bangi manakala Melaka berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Maybank, Bangi.

Perlawanan seterusnya iaitu hari perlawanan ke-14 akan berlangsung pada Ahad ini, 22 Mei 2016 tetapi perlawanan  JDT IV menentang Kuala Lumpur di Stadium Mini UTM, Skudai telah diawalkan ke Jumaat ini, 20 Mei.

 Namun terdahulu, satu perlawanan yang tertangguh sebelum ini akibat hujan lebat dan ribut petir iaitu MISC-MIFA bertemu Felda United pada 7 Mei lalu akan disambung semula pada Rabu ini, 18 Mei di Stadium Mini UPM, Serdang bermula minit ke-53 dengan kedudukan semasa 0-0.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

PAHANG 1

Mohamad Haikal Hasbul 89'

SSMP (B-17) 0

 

NEGERI SEMBILAN 2

Muhammad Iskandar Noorisam 45+1'

S Gevanesh 83'

PERLIS 1

Muhamad Aidil Firdaus Jamari 21'

 

SELANGOR lwn PERAK

(perlawanan ditunda ke tarikh lain kerana keadaan padang akibat hujan lebat)

 

SABAH 1

Mohd Suzairee Samail (p) 8'

SARAWAK 1

Michael Anak Kuddy 90+2'

 

PULAU PINANG 0

KEDAH 0

 

KUMPULAN B

 

TERENGGANU 0

FELDA UNITED 0

 

KUALA LUMPUR 1

P Raaj Baarathy 30'

MELAKA 2

Muhammad Zulkarnain Mohd Nasir 22' 37'

 

MISC-MIFA 1

S Surender 45+2'

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 2

Mohamad Khairullah Abdullhalim 7'

Mohamad Faiz Mohd Nasir 37'

 

SSMP (B-16) lwn ATM

(Dipinda ke 3 Ogos 2016)

 

KELANTAN lwn SSBJ (B-17)

(Dipinda ke 4 Ogos 2016)